Selasa, 15 Disember 2015

TNB beli 30% pegangan dalam Turkish GAMA Energi US$243j

MALAYSIAKINI


 


Tenaga Nasional Bhd (TNB) memanfaatkan sektor kuasa Turki yang sedang berkembang pesat dengan memeterai perjanjian jual saham bersyarat bagi membeli kira-kira 30 peratus pegangan ekuiti dalam Turkish GAMA Enerji AS daripada GAMA Holding AS, International Finance Corp (IFC) dan IFC Global Infrastructure Fund Holding (GIF) dengan harga US$243 juta (US$1=RM4.32).

TNB dalam satu kenyataan semalam berkata perkongsian itu akan memberikan TNB dua kerusi dalam lembaga pengarah GAMA Enerji dengan hak kawalan menyeluruh, serta peluang untuk meletakkan pegawai kanan TNB, terutamanya bahagian kewangan, operasi dan penyenggaraan, dalam pengurusan syarikat kuasa Turki itu.

Syarikat tersebut berkata kerjasama itu juga akan membawakan kepakaran tinggi dan kekuatan syarikat utiliti besar manakala pada masa yang sama mengukuhkan perkongsian strategik dengan IFC dan GIF, institusi terkemuka dengan pengalaman bertahun-tahun lamanya dalam membangunkan projek prasarana di Turki dan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata ia merupakan langkah penting dalam strategi TNB untuk berkembang ke pasaran antarabangsa yang mempunyai permintaan kuasa tinggi, sejajar dengan pelan hala tuju pengembangan antarabangsa lima tahunnya untuk memperoleh kapasiti penjanaan luar negara baru.

Beliau berkata TNB akan membawa kepakaran kejuruteraan penting dan kepakaran teknikal terutama sekali dalam bahagian mengurus, mengoperasi dan menyenggara stesen jana kuasa berskala besar, memberikan kelebihan daya saing sebenar yang boleh memaksimimkan peluang di Turki dan rantau itu.

"Pelaburan ekuiti TNB dalam GAMA Enerji akan membawa kepada kerjasama strategik yang membolehkan kami meneruskan peluang pengembangan serantau dari segi pembelian aset, projek lapangan baharu, pengoptimuman portfolio dan kemasukan pasaran bekalan," katanya.

Moggie berkata TNB juga akan membentuk perkongsian berasingan dengan GAMA Holding untuk bersama-sama menawarkan perkhidmatan fasiliti operasi dan penyelenggaraan (O&M) pada peringkat rantau.

"Ini akan membolehkan TNB meneliti peluang-peluang yang belum diteroka dalam sektor O&M di rantau ini selain memanfaatkan kepimpinan serantau GAMA Holding dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan (EPC) tenaga," katanya.

Proses mengambil alih GAMA Enerji bermula Disember 2014 dan selesai selepas melalui proses sewajarnya yang dijalankan secara terperinci oleh TNB dan penasihat kewangannya, Unlu and Co, dan UBS.

Pelaburan yang akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan hutang luar, adalah tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia Turki iaitu Turkish Competition Board, Lembaga Kawal Selia Pasaran Tenaga Turki dan badan kawal selia berkaitan Malaysia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd berkata Turki antara pasaran tenaga terbesar di Eropah dan penggunaan tenaga menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan purata memberangsangkan pada enam peratus dalam tempoh sedekad lalu.

"Menerusi kehadiran dalam pasaran tenaga utama melalui pelaburan dan perkongsian strategik jangka panjang dengan GAMA Holding, TNB akan berupaya meningkatkan aset penjanaan tenaga secara signifikan di Turki selain mempertimbangkan pengembangan ke dalam MENA.

"Kami akan lakukannya dengan menilai peluang-peluang pengambilalihan aset tenaga sedia ada selain membida projek-projek baharu dengan GAMA Holding di Turki dan juga wilayah sekitar," katanya.

Azman berkata liberalisasi berterusan dalam pasaran tenaga, persekitaran kawal selia yang jelas di Turki, di tambah dengan peluang besar untuk mewujudkan pangkalan aset tenaga serantau, telah menawarkan perniagaan menarik bagi pelaburan.

"TNB percaya bahawa pelaburan ini memiliki nilai yang positif, ia akan memaksimumkan nilai pemegang saham dan bakal memberikan pertumbuhan pendapatan jangka panjang yang mampan," katanya.

GAMA Enerji, yang ditubuhkan pada 2002, ialah syarikat pembangunan infrastruktur tenaga dan air dan juga merupakan anak syarikat GAMA Holding, antara konglomerat paling terkenal di Turki dengan aktiviti dalam pembinaan, kontrak EPC, konsesi, perdagangan serta pelaburan dalam tenaga dan air.

Syarikat itu memiliki dan mengendalikan portfolio yang besar dan seimbang seperti aset tenaga haba, angin dan hidro di Turki dan juga projek pengangkutan air yang besar di Jordan.

Ia kini mempunyai loji gas asli berkuasa 840 megawatt (MW) dan loji berkuasa angin dengan kekuatan 45MW yang sedang dibina di Turki dan dijangka siap pada suku ketiga dan keempat tahun depan.

Syarikat itu juga telah membangunkan dan mengoperasikan projek pengangkutan air yang besar di di Jordan dan menjelang 2017, ia dijangka mempunyai pengeluaran tenaga dengan kapasiti kasar sebanyak 1,027 MW di Turki.- Bernama 


Tiada ulasan: