Khamis, 10 Disember 2015

Shafie tak pernah abaikan tanggungjawab


Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan tugasnya sebagai Naib Presiden Umno.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatannya itu, beliau bukan sahaja memberikan sokongan bahkan membuat teguran demi kebaikan parti.

"(Sokongan) bukan bererti bahawa semata-mata bagi menampakkan kesetiaan kepada Presiden Umno.

"Apa yang penting kepada kita parti ini kuat dan pemerintahannya kuat, kita perlu pertahankan kerajaan yang ada," katanya kepada pemberita di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang membuat beberapa teguran dan peringatan khususnya kepada pimpinan kanan, parti itu.

Najib mengingatkan bahawa Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden perlu membantu Presiden Umno atau beliau dalam menguruskan parti.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie juga berkata, dalam mempertahankan kerajaan, banyak cara dan pendekatan perlu dilakukan termasuk mengatasi banyak isu yang timbul.

"Itu pandangan presiden parti dan kita terima hakikat itu kerana kita tahu dalam politik ini, banyak perbezaan pendapat dari segi cara dan kaedahnya.

"(Kita perlu) saling hormat-menghormati tentang perbezaan pendapat, itu yang saya minta kita perlu berucap untuk beri pandangan kita," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga menghormati keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang membuat keputusan menghalang beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada PAU 2015 ini.

"Selaku ahli Umno, kita ambil iktibar untuk pastikan kekuatan parti perlu bagi kita. Yang penting kepada saya ialah kerajaan dan Umno perlu kita perkasakan," katanya lagi.


Tiada ulasan: