KUALA LUMPUR: Exco Parti Amanah Negara (PAN) Nasional Hu Pang Chaw
berkata parti itu tidak pernah berhasrat untuk menggantikan PAS
sebaliknya penubuhan komponen pembangkang itu hanya sebagai alternatif
kepada pengundi.
"Sebenarnya perjuangan Amanah yang termaktub dalam perlembagaan parti
bukan nak gantikan PAS tapi sebagai satu parti yang berlandaskan Islam.
"Tapi Islam yang lebih inklusif maknanya lebih menerima pandangan yang
berbeza dan daripada perbezaan itu kita cari titik persamaan," katanya
kepada Antarapos.
Mengulas lanjut bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ini
berkata PAN terbuka menerima perbezaan idealogi antara komponen Pakatan
Harapan (PH) kerana ia bukan alasan untuk tidak bekerjasama.
"Dalam mana-mana agama pun mesti ada perbezaan, daripada perbezaan itu
biarlah kita cari titik persamaan kerana persamaan itu akan menjadi satu
platform membawa kemakmuran, kesejahteraan, kebajikan dan sebagainya
kepada rakyat Malaysia.
"Kita bukan ke arah nak cari perbezaan sebab falsafah hidup manusia memang penuh dengan perbezaan," katanya.
Justeru Hu mengulangi penegasan PAN tidak berhasrat untuk menggantikan
PAS sebaliknya agenda yang perlu ditekankan adalah mengambil alih
pentadbiran pusat daripada Umno-Barisan Nasional (BN).
"Sebab itulah Amanah tak pernah menyatakan pendirian nak menggantikan PAS.
"Cuma kita nak teruskan usaha kita untuk jatuhkan Umno-BN di Putrajaya
khususnya bersiap sedia menghadapi PRU14 nanti," katanya.
PAN mampu kekal dalam arena politik negara
Kata Ketua Biro Integrasi Nasional ini lagi, penerimaan rakyat terhadap
PAN amat memberangsangkan menambah perkembangan itu memberikan signal
positif untuk parti itu bertapak dengan lebih lama.
"Sebenarnya idea untuk menubuhkan Amanah ini timbul semasa mereka
mengadakan himpunan G18 di Johor yang ada desakan daripada akar umbi
bahawa kumpulan ini kena bergerak atas platform politik.
"Maka timbul idea untuk menubuhkan parti politik yang baru supaya
mereka ada satu platform membawa isu-isu politik dan sebagainya ke
Parlimen atau DUN sebab di antara mereka ada yang wakil rakyat,"
katanya.
Jelas Hu, tumpuan kini adalah untuk mengukuhkan serta memantapkan kedudukan PAN di seluruh negara.
"Jadi perkara ini dibincangkan dan diumumkan pada 31 Ogos di mana kita
mendaftar parti atas nama Parti Progresif Islam tapi ditolak RoS kerana
Islam tak boleh digunakan untuk mana-mana parti politik.
"Kemudian kita lancarkan Parti Amanah Negara pada 16 September untuk
bergerak ke depan dan sehingga kini keahlian kita melebihi 60,000
orang," katanya.
Tambah beliau, meskipun timbul perselisihan antara PAS-PAN serta
PAS-DAP ia tidak akan merencatkan gerak kerja PAN di peringkat akar
umbi.
"Ini menunjukkan bahawa parti ini mendapat sambutan hangat dan rakyat
mahukan satu perubahan selain mereka juga menyambut baik pembentukan
Pakatan Harapan.
"Walaupun ada perselisihan antara PAS, PKR dan DAP tapi sekiranya kita
kekallkan matlamat untuk menumbangkan Umno-BN dan membawa senario
politik baru kepada rakyat maka saya tidak nampak kenapa parti
pembangkang termasuk PAS tidak boleh bekerjasama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan