SHAH ALAM: PAS bergabung dengan Umno adalah satu perkara yang amat
mustahil buat masa ini, namun dua parti ini boleh bekerjasama untuk
isu-isu tertentu yang melangkaui batas politik kepartian, tegas
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Ujar Takiyuddin, PAS sentiasa berlapang dada untuk bersama-sama memainkan pernan ke arah penyatuan ummah.
"Tak semestinya ada ikatan, dalam perbincangan itu kita boleh capai
satu konsensus dalam isu-isu kepentingan bersama. Sebagai contoh, Umno
nakkan bidang kuasa mahkamah syariah dipertingkatkan, PAS pun nak juga
jadi kita sama-sama cari jalan macam mana nak pinda akta ini untuk
memperkasakan mahkamah syariah.
"Benda-benda macam itulah, kita buat secara perlahan-lahan," katanya kepada Antarapos.
Jelasnya lagi, Umno dan PAS masing-masing akan berbincang dengan
pimpinan tertinggi mereka sebelum menghantar wakil untuk duduk semeja
sehingga satu ketetapan dipersetujui.
"Agenda apa yang kita nak jayakan mengenai ummah ini, dalam aspek apa,
terma rujukan, saya rasa PAS akan bincang dalam mesyuarat PAS dan Umno
akan bincang dalam mesyuarat Umno.
"Kemudian kalau ada forum tertentu yang nak menyatukan kita ini atau
satu forum untuk kita bincang mengenai perpaduan ini. InsyaAllah kita
akan sertai," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan mengenai salam
perpaduan yang dihulur Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kepada PAS
10 Disember lalu.
Tambah Takiyuddin lagi, PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana
parti tidak kira Islam mahupun bukan Islam, asalkan ia demi kemaslahatan
rakyat dan negara.
"Bagi PAS agenda perpaduan ini adalah agenda asal kita. Kita nak
perpaduan Islam ini dengan syarat perpaduan ini berasaskan kepada
syariat iaitu dipanggil tali Allah.
"Siapa pun nakkan kepada perpaduan dan berteraskan syariat, kita akan
bekerjasama seperti mana yang diberitahu Hadi, dengan orang Islam ke
orang bukan Islam.
"Kalau untuk perpaduan selaras dengan syariat kita akan bersama-sama
tapi jangan sempitkan konteks perpaduan itu kepada pergabunggan dua
parti," jelasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan bukan mudah untuk ahli PAS masuk dalam
Umno dan begitu juga sebaliknya, kerana ia bukan boleh berlaku sekelip
mata selepas diungkapkan.
"Kita tak boleh nak jangka orang Umno akan masuk PAS atau orang PAS
akan masuk Umno, tak boleh macam tu. Itu perkara asas, politik ni
perkara yang tak boleh dielakkan, jadi jangan kita jangka dalam satu
masa terdekat parti ini akan bergabung, tak semudah itu," ujar beliau.
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini tampil dan menolak untuk PAS bergabung dengan Umno.
Ujar mereka, perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat tertinggi PAS.
Sehingga kini, tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan