Sabtu, 12 Disember 2015

Masjidilharam dilengkapi pintu kecemasan 24 jam

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
MEKAH: Masjidilharam akan mempunyai pintu kecemasan selama 24 jam bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan, lapor akhbar harian di sini kelmarin yang memetik sumber Jemaah Presiden Am Hal Ehwal Dua Masjid Suci.
 
Sumber berkata, jemaah presiden terbabit membentuk satu jawatankuasa khas bagi meneliti projek dan memutuskan lokasi memasang pintu terbabit.
 
Katanya, jawatankuasa itu yang terdiri daripada pakar dalam beberapa bidang, akan mengadakan mesyuarat pertama beberapa minggu lagi bagi menjelaskan kepada jemaah berkenaan gambaran sebenar projek itu.
 
"Jawatankuasa itu akan membincangkan jumlah pintu yang diperlukan untuk situasi kecemasan dan agihannya dalam ruang di Masjidilharam mengikut keperluan.
 
"Jawatankuasa itu juga mempertimbangkan kaedah menjadikan pintu kecemasan berbeza daripada pintu biasa lain," katanya.
 
Menurut sumber, pintu kecemasan dapat mempercepatkan jalan keluar jemaah dalam kes kecemasan, membantu pengosongan dengan pantas, digunakan membawa jenazah ke dalam Masjidilharam untuk solat jenazah, mengurangkan kesesakan pada hari Jumaat dan Hari Raya serta pintu masuk peralatan penyelenggaraan ke dalam masjid.
 
Pada masa sama, jemaah presiden mengumumkan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman memberi kelulusan diraja untuk menggantikan marmar dinding rendah Kaabah dan dinding Hajar Aswad.
 
Ketua Jemaah Presiden Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, berkata dinding rendah marmar dan Hajar Aswad sudah terhakis, bertukar kekuningan dan tidak boleh dibersihkan dengan mencucinya.
 
Jurutera berkata dinding rendah itu akan dipagar sementara sehingga marmar baharu dipasang. Mereka berkata kerja penggantian tidak akan mengganggu tawaf di sekitar Kaabah yang berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun. - AGENSI
 
 

Tiada ulasan: