BERNAMA
Presiden Parti Amanah
Negara (Amanah), Mohamed Sabu hari ini menegaskan bahawa beliau tidak
akan sesekali menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan bahawa 'Pas
diresapi fahaman militan Negara Islam (IS) atau pengganas Daesh.' - Foto
TRP/Azrol Ali
KEPALA BATAS, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah),
Mohamed Sabu hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali
menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan bahawa ‘Pas diresapi
fahaman militan Negara Islam (IS) atau pengganas Daesh.’
Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran
Mat Sabu berkata tiada keperluan baginya untuk menarik balik
kenyataannya walaupun Pas tampil membuat laporan polis berhubung perkara
tersebut.
“Mahu tarik apa? Apa punya laporan polis
pun saya tak tahu. Saya tak pernah baca apa-apa pun mengenai laporan
polis dibuat Pas terhadap saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis
pelancaran Amanah peringkat negeri di sini hari ini.
Mat Sabu berkata kritikan kepimpinan Pas
terhadapnya adalah hanya melalui tafsiran mereka sendiri dan beliau
enggan menguals lanjut mengenai hal tersebut.
“Lebih baik kamu pergi tanya Pas mengenainya dan kenapa mereka kemukakan kenyataan berkenaan.
“Paling utama, kamu lihat sendiri berapa
ramai yang hadir di majlis petang ini. Ini membuktikan bahawa kerjaya
politik saya masih relevan dan tidak seperti digambarkan kepimpinan
Pas,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad
Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan tuduhan Mat Sabu itu
adalah langkah terdesak bagi mengembalikan karier politiknya yang kini
ibarat telur di hujung tanduk.
Nik Mohamad Abduh berkata tuduhan Mat
Sabu itu disebabkan beliau sudah tidak ada modal untuk menjatuhkan Pas
sejak beliau keluar daripada parti itu dan membentuk Amanah.
Pas Pulau Pinang turut membuat laporan
polis ke atas Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ekoran
kenyataannya yang dikatakan mendakwa Pas mempunyai hubungan dengan
militan Daesh dan Al-Maunah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan