KUALA LUMPUR,  Lapan kawasan di Selangor mengalami banjir kilat, akibat hujan lebat pada petang tadi, menurut Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.


Lapan kawasan yang terjejas adalah Taman Bukit Kemuning, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Jalan Kapar, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Chinchang, Jambatan Jalan Resak dan Jalan Merbau, Kampung Sri Aman Puchong dan Kampung Tengah.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan banjir itu daripada orang awam pada mulai jam 4 petang hingga 6 petang tadi.

“Terdapat tiga keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Chinchang akibat kenaikan paras air yang berada di tahap 0.9 meter pada 5 petang tadi melibatkan 15 keluarga lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, seramai lima mangsa di Kampung Kubu Gajah dan empat mangsa di Kampung Bukit Cherakah dibawa ke tempat selamat, sementara menunggu air setinggi paras pinggang di kawasan terbabit, surut.

Mohd Sani berkata, kenaikan paras air Sungai Damansara dan Sungai Rasau di tahap tinggi, namun masih tiada pemindahan dilakukan setakat ini.

Katanya, paras air Sungai Klang pula masih normal, iaitu pada 300 hingga 500 milimeter.

Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan kerja pemindahan mangsa dan mengawasi kawasan terjejas.