Jumaat, 18 Disember 2015

Ke mana menghilang peniaga penipu di Kota Raya?

 
Pelanggan terkial-kial apabila pemilik beberapa kedai telefon bimbit bertukar tangan selepas diserbu PPIM


kota-raya


KUALA LUMPUR: Sehari selepas serbuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pemilik dua kedai telefon bimbit nampaknya bertukar tangan pada Khamis.

Tinjauan krew FMT di kompleks beli-belah pada Khamis malam mendapati dua premis di tingkat bawah itu menampak notis mengatakan kedua-dua kedai itu dimiliki pemilik baharu bermula 17 Disember.

Notis itu seterusnya menyatakan pembeli yang mempunyai pertikaian berhubung pembelian telefon bimbit supaya menghubungi pengurusan lama. Bagaimanapun, butiran untuk menghubungi pemilik lama tidak disertakan.

Kakitangan di salah satu kedai itu mengesahkan notis itu ditampal pada Sabtu, dan dia tidak mengenali siapa pemilik lama dan baharu serta tidak berhubungan dengan mereka.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki ‘dikurung’ dalam sebuah bilik kerana enggan membeli empat telefon bimbit, selepas diminta membayar RM10,000 dan bukan RM800 seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Mangsa, Dipres Nasution Mohd Arifin yang berumur 28 tahun, dibebaskan selepas menyerahkan RM5,000 dan kemudian membuat laporan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum membuat laporan ke PPIM, tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.

Beliau kemudiannya menemui PPIM, yang kemudiannya menyerbu kompleks itu dan mengambil semula wang tunai berjumlah RM11,900 dari beberapa kedai, yang didakwa telah menipu tujuh lagi pelanggan.

KPDNKK sebelum ini berkata badan bukan kerajaan supaya jangan bertindak secara bersendirian, dan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang disyaki menipu pelanggan.

Ketika dihubungi FMT, Ketua Setiausaha KPDNKK Alias Ahmad berkata beliau tidak faham mengapa Dipres mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.

Alias menjelaskan Dipres telah membuat laporan dengan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di ibu negara pada 24 November.

“Pada 15 Disember, Tribunal Tuntutan Pengguna mengarahkan kedai telefon bimbit itu memulangkan RM5,000 kepada Dipres. Keesokan harinya, dia memberitahu media bahawa pihak berkuasa tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Ketua Setiausaha itu menjelaskan bahawa pada 2015, KPDNKK menjalankan lapan serbuan di Kompleks Kota Raya keatas kedai-kedai telefon bimbit yang menjual barangan tiruan, dan merampas barangan bernilai RM9,037.

Tiada ulasan: