Jumaat, 4 Disember 2015

'Bayangkan MKN di tangan PM di ambang penyingkiran'

MALAYSIAKINI


 


Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyatakan kebimbangan terhadap kelulusan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang didakwa memberi kuasa besar  kepada perdana menteri.

Kumpulan pemikir itu berkata pemberian kuasa itu di tangan seorang perdana menteri boleh memberi kesan buruk.

“Bayangkan jika seseorang yang memegang jawatan itu dalam proses ditendang keluar daripada tampuk kekuasaan oleh partinya sendiri atau pengundi.


“Saya bimbang beliau boleh guna akta ini untuk semata-mata kekal berkuasa,” kata Pengarah Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful juga mengkritik anggota Dewan Rakyat daripada BN yang didakwa menghampakan rakyat dengan menyokong rang undang-undang itu.

Beliau dalam masa yang sama menggesa kerajaan menarik balik undang-undang itu, yang baginya terlalu memusatkan kuasa di tangan perdana menteri.

“Jika kerajaan tidak tarik balik, senator-senator di Dewan Rakyat harus tunjukkan bahawa mereka berguna dan menolak rang undang-undang itu,” katanya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan rang undang-undang MKN secara tergesa-gesa dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.

Undang-undang baru ini diperkenalkan ketika kedudukan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri terus dicabar pelbagai pihak.

Tiada ulasan: