Selasa, 15 Disember 2015

Bapa mangsa tembak percaya anak tiada musuh


Bapa mangsa tembak percaya anak tiada musuh
Ismail menunjukkan gambar anaknya Mohd Shahridwan dan mengharapkan dia pulih seperti sedia kala. - Foto Sinar Harian
 
 
KOTA BHARU - “Setahu saya dia seorang yang tidak pernah bermusuh dengan sesiapa,” kata Ismail Ahmad, 66, bapa mangsa tembak di Narathiwat dalam kejadian petang semalam.

Menurut Ismail, walaupun Mohd Shahridwan, 24,  anak kedua dari lapan beradik itu kini tinggal di Selatan Thailand bersama isterinya yang berasal dari negara jiran bagi menguruskan perniagaan menjual pakaian, namun setiap minggu, anaknya akan pulang ke rumah menjenguknya dan isteri yang menetap di Pantai Pulau Kundur, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

“Dia ambil berat tentang keluarga dan merupakan anak yang baik, namun saya terkejut dan tidak menyangka dengan kejadian yang menimpanya, sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah apabila peluru yang disasarkan penembak terkena di bahagian kepala.

“Sedih melihat keadaannya yang separuh sedar dan masih dirawat di hospital di Selatan Thailand , isterinya juga tidak melepaskan tangannya dan tetap menunggu setia walaupun terpaksa menahan tangisan melihat keadaan anak saya itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Warga Malaysia parah ditembak di Narathiwat]

Ismail berkata, dia menerima berita tentang kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira jam 7 petang semalam dan terus bertolak ke Selatan Thailand bersama ahli keluarganya yang lain,bagi melihat keadaan anaknya yang dirawat di hospital di sana.

“Memang doktor kata mengikut keadaannya dia masih belum boleh bercakap dan tidak sedarkan diri kerana peluru yang dilepaskan penembak terkena di bahagian kepalanya dan mungkin peluangnya untuk hidup agak tipis.

“Namun saya tidak pernah putus berdoa agar anak saya kembali seperti sedia kala selepas menjalani pembedahan semalam, memandangkan keadaannya dilaporkan stabil dan dalam separuh sedar serta boleh mengerakkan jari jemarinya dan memberi respon kepada orang sekeliling,”katanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Mohamad Zunaidi Ismail, 21, berkata, selepas abangnya mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu, dia sering berulang alik ke kampung.

“Keluarga kami tidak pernah ke sana selepas dia berkahwin, namun dia tidak pernah lupakan keluarga dan sering mengambil berat tentang kami.

“Apa pun kami sekeluarga hanya mengharapkan abang selamat dan pihak yang bertanggungjawab dapat di bawa kemuka pengadilan untuk tindakan lanjut,” katanya.


Tiada ulasan: