HAZAWANI ARIFFIN & NORAIZURA AHMAD
Tujuan asal pil Cytotec
dan Misoprostol untuk penyakit gastrik namun penyelidikan mendapati
ianya juga boleh digunakan untuk menggugurkan kandungan.
KUALA LUMPUR, Pakar Sakit Puan Hospital Tengku Jaafar
Seremban, Dr Krishna Kumar berkata tujuan asal pil Cytotec dan
Misoprostol untuk penyakit gastrik namun penyelidikan mendapati ianya
juga boleh digunakan untuk menggugurkan kandungan.
Katanya, pil tersebut digunakan untuk
penyakit gastrik dan tidak dilesenkan untuk menggugurkan anak serta di
bawah kawalan dan didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk
merawat penyakit ulser duodenum dan ulser gastrik.
Katanya, penggunaan pil itu mestilah
dikawal kerana ianya berbahaya dan boleh mendatangkan maut sekiranya
disalah guna serta tidak mendapat nasihat daripada doktor yang
bertauliah.
“Pil ini tidak dijual di farmasi dan ada implikasi tertentu apabila menggunakannya,” katanya kepada The Rakyat Post sambil menjelaskan pil tersebut hanya diluluskan untuk jualan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau
berkata, terdapat satu kes seorang wanita meninggal dunia selepas
memakan pil Cytotec apabila mengetahui dia mengandung luar rahim dan
berlaku pendarahan namun enggan mendapatkan rawatan di hospital hingga
maut.
Katanya, walaupun terdapat preskripsi
doktor untuk penggunaan pil itu untuk masalah gastrik namun ianya
disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kedua-dua jenis pil itu
memang ditauliahkan untuk digunakan dalam kes tertentu seperti individu
yang mengandung kurang daripada tiga bulan dan perlu menggugurkan
kandungan bagi tujuan keselamatan.
“Dalam hospital kerajaan juga ianya digunakan dengan kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan berdasarkan kes tertentu.
“Cara penggunaanya adalah dengan memasukkan pil itu ke dalam kemaluan atau makan seperti biasa,” katanya.
Difahamkan, pil itu disumbat di dalam
kemaluan dan hanya dalam tempoh tiga jam individu itu akan turun darah
dan berlakulah keguguran.
Dr Krishna berkata, kaedah tersebut
sangat berbahaya kerana seseorang itu perlu tahu kesan sampingan yang
dialami dan perlu menerima rawatan selanjutnya apabila terdapat
perubahan yang luar biasa selepas penggunaan ubat itu.
Beliau yang juga bekas pengerusi
Persatuan Perubatan Malaysia berkata, penjualan pil gugur di laman
sosial dilihat semakin membimbangkan namun usaha kerajaan melalui
bahagian farmasi menyekat dengan menutup sesawang ini gagal.
“Mereka akan muncul dengan nama lain dan
terus menjual pil gugur walaupun sebelum ini ada tangkapan daripada
pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, bagi mengurangkan permintaan
pil gugur di laman sosial ini, pihaknya mencadangkan kerajaan untuk
memulakan pelajaran seks di sekolah.
Katanya, dalam usaha lain, beliau turut
mencadangkan pil perancang untuk mudah diperolehi untuk mereka yang
berkahwin atau belum.
“Apabila pil perancang ini mudah diperolehi, mereka ini tidak mengandung dan tidak perlu menggugurkan kandungan.
“Tetapi keadaan sosial negara ini tidak menerimanya dan ianya sukar untuk diatasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Jabatan
Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi
mengesahkan tiada laporan yang diterima berhubung penjualan pil gugur di
laman sosial.
Namun, kesalahan menggugurkan kandungan secara haram boleh dianggap jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan.
Kesalahan ini adalah membabitkan tindakan
individu yang menggugurkan anak dan ianya boleh dikenakan hukuman
penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, lambakan iklan dengan
kata-kata memujuk seolah-olah menggalakkan lagi masalah sosial yang
semakin membimbangkan kini.
Carian pil gugur di laman sosial tidak
sukar kerana dengan menaip ‘pil gugur’, pelbagai laman sosial dengan
berbagai nama akaun akan terpapar.
Tinjauan The Rakyat Post
mendapati mendapati aktiviti penjualan produk ini bebas dipasarkan di
laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instgram yang kononnya
ingin membantu golongan wanita yang terlanjur dan menghadapi masalah
kewangan tanpa memikirkan soal larangan dalam agama.
Antara lama sosial yang menawarkan pil
gugur adalah Pil Gugur Berkesan yang mengiklankan pil itu secara bebas
di laman Instagram dan teknik penjualan tersebut hanya melalui sistem
‘Whatsapp’ atau sistem pesanan ringkas (SMS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan