SHAH ALAM: Pemimpin DAP, Tony Pua "bukan tuhan" yang boleh menduga
Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi.
Beliau membidas Setiausaha Publisiti DAP itu kerana angkuh menduga Pakatan Harapan boleh menang pada PRU-14 tanpa bantuan PAS.
Menurut Sallehin, Pua hanya mengitar semula kenyatàan Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan bahawa PAS akan kalah teruk pada
pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.
Sallehin berkata Pua dan Lim tidak berpijak pada realiti dalam membuat ramalan.
"Bagi saya, Tony bukan tuhan nak menentukan pilihan raya boleh menang
atau tidak. Politik ini di saat-saat akhir pun boleh berubah dan boleh
berlaku.
"Kalau dia kata boleh menang lebih banyak kerusi (tanpa PAS), dia kena
tunjuklah strateginya," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Tambahnya, Pakatan Harapan akan melalui jalan yang sukar bagi menawan Putrajaya tanpa PAS.
"Jika mereka (Pakatan Harapan) ingin menawan Putrajaya bagi saya lupakanlah.
"Realitinya apa yang berlaku sekarang Pakatan Harapan ini sukar
mendapat sokongan orang Melayu dan Islam tanpa PAS," ujarnya lagi.
Selain itu, Sallehin menyelar kenyataan Pua yang mempersendakan prestasi PAS di Kelantan.
"Kalau dia nak kaitkan soal dia akan menang besar dengan soal Kelantan
saya fikir itu tidak adil melainkan kalau dia kata PAS Kelantan akan
kalah tapi bagi saya ucapan yang menyatakan Kelantan itu prestasinya
tidak bagus adalah tidak betul," jelasnya.
Semalam, Tony di dalam satu majlis bagi mengutip dana Parti Amanah
Negara di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala
Lumpur turut yakin Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan
Parti Amanah Negara (Amanah) mampu untuk memenangi pilihanraya umum akan
datang walapun tiada kerjasama daripada PAS.
Tony sebelum ini merujuk sumbangan kerajaan PAS di Kelantan dan
kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan yang
dianggap lambat menghulurkan bantuan.
Malah DAP katanya yang giat membantu dengan mengusahakan projek
pembinaan semula rumah di negeri itu yang dikenali sebagai Impian
Kelantan.
Pua turut mengungkit tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang tidak bersetuju terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR
mencalonkan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri
besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim September
tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan