Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
GOMBAK: Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan kononnya
Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli akan dipecat, sekali gus
disingkir daripada kedudukannya sebagai setiausaha agung parti itu.
Menyifatkan khabar angin berkenaan sebagai spekulasi, Azmin yang juga
Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa PKR tidak berhadapan masalah
dalaman membabitkan pemimpinnya.
"Tak ada (rancangan pecat Rafizi), PKR hari ini sebuah parti yang bertambah kuat dan kukuh.
"Tidak ada masalah seperti yang dinyatakan oleh wartawan tersebut atau
individu berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis pecah
tanah projek naik taraf Masjid Zakaria di sini, Jumaat.
Beliau mengulas mengenai laporan berhubung satu petisyen dikemukakan 25
anggotanya baru-baru ini yang mahu jawatan Rafizi sebagai setiausaha
agung dilucutkan susulan pertembungan dalaman berhubung penubuhan
Pakatan Harapan.
Nasib Rafizi dikatakan bakal ditentukan pada mesyuarat khas Majlis
Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual diadakan pada Ahad ini.
Ditanya mengenai mesyuarat berkenaan, Azmin berkata: "Kita mesyuarat setiap hari."
Diminta mengulas sama ada beliau akan mempertahankan Rafizi sekiranya
MPP berkemungkinan mengambil pendirian untuk memecat Rafizi, Azmin
bagaimanapun cuba mengaitkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah.
"Kalau benda ini tak benar why you speculate. Jangan layan
spekulasi dan budaya fitnah. Sebab itu baru-baru ini Dewan Diraja
Selangor dan kerajaan negeri ambil tindakan keras terhadap Tan Sri Rahim
Thamby Chik yang lemparkan fitnah.
"Hentikan budaya fitnah kerana ia akan menggugat demokrasi dan kedaulatan negara dan negeri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan