Rabu, 14 Oktober 2015

PKR: Perhalusi usul tidak lulus Bajet 2016

Johari Abdul
Johari Abdul


SHAH ALAM - Ketua-ketua Whip Parlimen dari parti pembangkang digesa memperhalusi usul untuk tidak meluluskan Bajet 2016 yang bakal dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini.

Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata, cadangan tersebut boleh digunakan untuk mendesak Najib berundur dari jawatan Perdana Menteri jika usul tidak percaya ditolak Speaker pada sidang Dewan Rakyat yang bermula 19 Oktober ini.

"Itu satu pilihan (usul tak percaya) dan sudah tentu kita (pembangkang) tidak mempunyai jumlah ahli yang besar, (tanpa) bantuan daripada BN.

"Tetapi itu pilihan yang ada, dan saya harap pilihan itu akan diperhalusi oleh ketua-ketua whip," katanya kepada Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎DAP ada cara lain selain undi tak percaya?]

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhak memutuskan sama ada usul undi tidak percaya boleh dilakukan atau tidak.

Razaleigh berkata, Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul sekiranya ia tidak berada dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat di Parlimen.

Dalam pada itu, Johari juga mengakui belum ada sebarang perbincangan antara parti-parti pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Najib ke Parlimen.

"Kita belum mesyuarat lagi, kita pun tak tahu sama ada Speaker akan tolak atau tidak, sesiapa saja boleh bawa usul itu sama ada BN atau Pakatan.

"Usul itu boleh mengikut arahan tetap atau peraturan tetap boleh dimasukkan, kita merasakan ia peluang terbaik," ujarnya.

Johari berkata lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ketua whip setiap parti pembangkang dalam masa terdekat.

"Saya akan bincang dengan ketua Whip yang lain iaitu dari DAP, Amanah dan juga Pas, bilakah kita boleh masukkan (usul tak percaya) seperti yang kita janjikan sebelum ini.

Ditanya cara alternatif jika usul tidak percaya itu tidak membuahkan hasil, beliau turut bersedia berbincang dengan Tengku Razaleigh untuk mencari kaedah lain.

"Saya pun tak berpeluang bertemu dengan Tengku Razaleigh, bila sesi Parlimen bermula, kita akan bincang apakah cara-cara lain itu," katanya lagi.


Tiada ulasan: