SHAH ALAM: PKR akan meneliti gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Selangor supaya parti memecat keahlian penulis blog Badrul Hisham
Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard.
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian ketika
mengulas tindakan sayap parti berkenaan yang tidak berpuas hati dengan
dakwaan dan fitnah yang dibuat oleh Chegubard, selama ini.
"Kita akan lihat apa yang sebenarnya disebut oleh AMK Selangor dan akan
buat semakan. Kita akan bermesyuarat untuk bincang. Jika ia membabitkan
isu disiplin, maka kita akan serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin
PKR," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Terlebih dahulu AMK Selangor dalam sidang medianya hari ini menuntut
PKR memecat keahlian Chegubard berhubung tindakan bekas Ketua Cabang PKR
Rembau itu yang sering membuat kenyataan terbuka di media, blog dan
media sosial.
Timbalan Ketua AMK Selangor, Zainol Abidin Mohamed berkata tindakan
Chegubard secara tidak langsung menjurus kepada cubaan memecahbelahkan
parti.
Selasa lalu, Chegubard mendakwa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin
Ali berhasrat menggulingkan presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Bukan itu sahaja tindakan Wan Azizah mengumumkan pembentukan Pakatan
Harapan pada 22 September lalu yang membabitkan kerjasama PKR-DAP-Parti
Amanah Negara (Amanah) disifatkan oleh sekumpulan pihak dalam PKR
sebagai tergesa-gesa.
Maka satu petisyen ditandatangani oleh 25 pemimpin PKR untuk menuntut
penjelasan Wan Azizah sekali gus memaksa satu mesyuarat tergempar
diadakan pada Ahad ini.
Syed Ibrahim dalam pada itu menafikan wujudnya gerakan untuk menggulingkan kepimpinan Wan Azizah.
"Soal perpecahan, saya beritahu ia tidak wujud dan tidak benar. Kita
tidak mahu ada spekulasi. Bagi kami di peringkat tertinggi parti kena
bersatu dan bekerjasama untuk mencapai agenda politik parti," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan