SHAH ALAM: Kepemimpinan seseorang itu bukan hanya diukur daripada
usianya semata-mata tetapi keberkesanan, kewibawaan dan ketokohannya,
kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasaruddin Hassan.
"Jika yang baru tidak efektif maka dia tidak memberikan keuntungan
kepada parti. Jadi bukan isu (pemimpin) lama perlu berehat (dan) beri
kepada orang baru.
"Tetapi ia bergantung kepada keupayaan dan juga keberkesanan kepimpinan
seorang itu, ketokohan dan kewibawaan," kata Nasruddin ketika dihubungi
Antarapos.
Beliau mengulas pandangan pendakwah, Datuk Hassan Mahmud yang
mengesyorkan pemimpin lama PAS memberi laluan kepada pemimpin muda.
Hassan sebelum ini berkata PAS semakin berada dalam keadaan tenat
sekiranya pimpinan parti berkenaan tidak mahu melakukan sebarang
perubahan.
Menurutnya, bagi memastikan PAS terus relevan di dalam arena politik
masa kini parti itu perlu diterajui tiga golongan iaitu Ulul Ilmi (Ahli
Ilmu), Ulul Albab (Ahli Falsafah) dan Ulul Abroq (golongan yang
berwawasan).
"Sehingga kini kombinasi kepimpinan PAS masih relevan dan semakin
mantap malah akan diolah dan digerakkan dengan lebih padu untuk memenuhi
bukan sahaja cita-cita perjuangan PAS tetapi membentuk dan melahirkan
sebuah masyarakat yang bertamadun," katanya.
Jelasnya, perkara yang paling penting adalah kepimpinan PAS kini perlu
mempunyai kewibawaan dan keupayaan untuk memimpin tidak kira ia pimpinan
lama atau baru.
Namun, Nasaruddin memberitahu bahawa PAS sudah lama mengamalkan konsep
tersebut dan juga menerapkannya dalam kepimpinan dan juga aktivitinya.
"Kita mempunyai barisan kepimpinan dan juga anggota yang utamakan
pencapaian akademik dan disiplin. Kita juga mempunyai pelbagai aktiviti
kebajikan, mendekati masyarakat membantu dan menolong mereka,"jelasnya.
Mengenai Himpunan Fasataqim (H60K), Nasarudin menyifatkan jika himpunan
tersebut tidak diadakan sekalipun, sokongan terhadap PAS tetap tidak
akan terjejas.
"Ini kerana kekuatan asas PAS itu ada pada prinsip perjuangan PAS dan
ia telah sememangnya wujud pada prinsip perjuangan yang digerakkan.
"Maka himpunan itu menjadi satu nilai tambah dan menyemarakkan lagi
semangat, kekuatan dan menyatukan sumber-sumber tenaga di dalam parti,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan