Selasa, 6 Oktober 2015

NASIB TUN M SETERUSNYA...KENA SAMAN, TANGKAP ATAU DIPECAT DARIPADA UMNO?

shahbudindotcom

 
 
 
Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya menghantar surat saman kepada bekas Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah baru-baru ini.

Sabtu lalu, Dr. Ling bersetuju dengan desakan Tun Mahathir agar Najib berundur daripada jawatannya kerana  mendakwa "telah mengambil duit orang lain untuk dimasukkan ke akaun peribadinya."

Sehubungan itu, tempoh tujuh hari diberikan kepada bekas Menteri Pengangkutan itu untuk menarik balik kenyataan tersebut, memohon maaf dan membayar sejumlah ganti rugi atau berdepan dengan tuntutan saman fitnah di mahkamah kerana mencemar nama baik Perdana Menteri.

Tindakan pantas terhadap Dr Ling ini menggambarkan Najib kini meneruskan sikap tidak mahu  lagi memberi muka kepada pengkritik yang cuba menjejaskan reputasinya.

Setelah beberapa pemimpin pembangkang juga disamannya sebelum ini, Dr Ling adalah sasarannya paling terbaharu sekali.
 
 
 
 
Tetapi, tentunya ramai ingin tahu apakah tindakan Najib terhadap Tun Mahathir yang juga tidak henti-henti mengkritiknya?

Apakah beliau juga bakal disaman oleh Najib?

Dalam program Tun Mahathir di Ampang pada Sabtu dan di Sabah semalam, jelas dan terbuka bekas Perdana Menteri menyifatkan Najib sebagai pencuri.

Kalau nak kena tangkap, tangkaplah...tapi saya nak cakap terang-terang di sini...Najib curi duit, kata Tun Mahathir ketika berucap di Ampang dan beliau mengulanginya lagi dakwaan itu di Sabah.

Apakah bezanya antara dakwaan "Najib curi duit" oleh Tun Mahathir dengan  ungkapan "telah mengambil duit orang lain untuk dimasukkan ke akaun peribadinya" oleh Dr Ling itu?

Tidakkah kedua-duanya bermaksud mencuri?

Berani dan tergamakkah Najib mengheret Tun Mahathir ke mahkamah atau beliau akan menghadapi serangan daripada bekas Perdana Menteri itu dalam bentuk yang lain?

Dalam hal ini mungkinkah Tun Mahathir akan dipecat keahliannya daripada UMNO berikutan Setiusaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan pihaknya sedang memantau tujuh pemimpin kerana kesalahan melanggar disiplin parti.

Adakah Tun Mahathir salah seorang daripadanya?
 
 
 
 
Tun Mahathir pula semakin agresif menyerang dan sedia menjelajah ke seluruh negara untuk meneruskan tekanannya menyingkirkan Najib.

Setelah di Ampang Sabtu lalu dan Sabah semalam, beberapa destinasi lain juga sedang dirancang sebagai pentas untuk Tun Mahathir mengadakan program "Bicara Negawarannya" dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang sedang berlaku dalam negara.

Atau mungkinkah Tun Mahathir akan ditangkap dibawah Akta Hasutan atau atas lain-lain  dakwaan yang dianggap mengancam keselamatan negara sepertimana yang dialami oleh Khairuddin Abu Hasan yang kini diSosmakan selama 28 hari?

Di Ampang baru-baru ini memang beliau turut membayangkan kemungkinan dirinya akan ditangkap.

Nak kata takut, takut jugalah tapi kalau saya kena tangkap...berapa lama sangatlah umur saya ada lagi, katanya berseloroh.

Lalu, berdasarkan beberapa tindakan agresif Najib mempertahankan kedudukannya sejak kebelakangan ini melalui tindakan perundangan atau seperti yang dihadapi oleh Khairuddin Abu Hasan dan sebelum itu turut menyingkirkan ramai orang daripada kabinet dan jawatan penting dalam kerajaan, seperti mustahil Tun Mahathir akan "dilepaskan" begitu saja.

Cuma yang mana satu nasib sedang menanti Tun Mahathir agaknya - saman, tangkap atau sekadar dipecat keahlian UMNO? 
 
 

Tiada ulasan: