Oleh Bersih 2.0
Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam dalam kes Akta Hasutan 1948 melibatkan Profesor Madya Dr Azmi Sharom membangkitkan banyak kebimbangan.Azmi didakwa di bawah akta tersebut tahun lalu ekoran komentar akademiknya dalam sebuah tulisan terhadap kes krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melihat keputusan mahkamah dalam mempertahankan keperlembagaan Akta Hasutan 1948 sebagai satu lagi batu tanda dalam jalan panjang menafikan hak membantah di negara ini.
Keputusan kes Azmi pastinya meresahkan puluhan lagi yang turut terperangkap dalam pukat tunda Akta Hasutan tahun lalu, termasuklah demikian ramai ahli-ahli Parlimen dan aktivis sosial.
Adakah ini modus operandi pihak kerajaan dalam memastikan pentadbirannya tidak dicabar dan diganggu-gugat, dengan memangsakan para pemimpin masyarakat menggunakan undang-undang zalim dan seterusnya memenjarakan mereka yang mengakibatkan mereka hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya?
Negara yang tidak membenarkan warganya mempersoal dan mengkritik, apatah lagi kritikan akademik ternyata hidup dalam sistem demokrasi yang cacat dan tidak sihat. Adakah ini aspirasi parti pemerintah, untuk menguruskan pentadbiran negara secara sendirian, tanpa semak imbang daripada parti-parti pembangkang dan juga aktivis masyarakat?
Kerajaan harus mengambil iktibar daripada pesan bekas presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy; yang berkata, ‘mereka yang memustahilkan perubahan secara aman, tidak akan dapat mengelak perubahan melalui keganasan’.
Justeru, BERSIH 2.0 menasihatkan kerajaan untuk tidak mengambil garis keras dalam membungkam hak membantah rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan