Rabu, 7 Oktober 2015

Chegubard pertahan dakwaan Azmin mahu guling Wan Azizah

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic


SHAH ALAM: Penulis blog Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mempertahankan dakwaannya bahawa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mahu menggulingkan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menulis dalam blognya, beliau berkata, semua penafian Menteri Besar Selangor itu adalah penafian dangkal dan Azmin jelas menipu.

"Azmin pula dalam beberapa media menafikan wujud apa yang saya tulis sebelum ini dan mengatakan saya bankrap.

"Adakah kerana saya bekas MPP, bekas ketua cabang maka saya tidak boleh beri pandangan," katanya.
"Saya tulis dengan jelas dan saya tampilkan bukti salinan petisyen tersebut tetapi biasalah Azmin…,” tambahnya.

Sementara itu, Free Malaysia Today memetik Chegubard sebagai berkata, jika Azmin tidak berniat memalukan Wan Azizah, mengapa perlu diadakan Mesyuarat MPP tergempar pada Ahad ini sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik atau Mesyuarat bulanan MPP.

“Kalau sekadar nak bincang atau ingin kukuhkan parti sepatutnya kamu tunggulah, Mesyuarat Biro Politik PKR, seminggu sekali atau mesyuarat MPP sebulan sekali.

“Kalau MPP mengambil keputusan ‘u-turn’ dan tidak menyokong Pakatan Harapan, di mana Wan Azizah hendak letak muka? Maka ini jelas satu usaha undi tidak percaya kartel Azmin ke atas Wan Azizah,” katanya.

Sebelum ini, Azmin mendakwa pendedahan seorang penulis blog bahawa terdapat gerakan diterajui oleh beliau untuk menggulingkan presiden parti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah satu tuduhan jahat dan cubaan untuk memfitnah beliau.

Tiada ulasan: