Rabu, 7 Oktober 2015

Betapa seksanya dikurung kawan dalam dosa


Oleh TAN SRI SANUSI JUNID


Konsep penjara yang sering kita ketahui ialah tempat tahanan yang dikelilingi oleh dinding dan pagar yang menghalang kebebasan banduan untuk keluar dari kawasannya.

Seseorang banduan dipenjara setelah didapati bersalah kerana telah mengerjakan jenayah sivil atau jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, kecuali tahanan di bawah ISA. Ganti kepada ISA ialah SOSMA yang kelihatan lebih membebankan daripada ISA.

Apabila seseorang itu berada di dalam penjara maka perhubungannya dengan masyarakat luar terputus kecuali dengan pelawat tertentu pada waktu yang diizinkan.

Yang paling menyeksakan banduan ialah perhubungan yang terbatas dengan pihak luar – jika tidak disekat sama sekali.

Dengan adanya telefon bimbit di zaman ini ada kalanya saya menerima laporan mengatakan banduan masa kini, secara rasmi atau tidak rasmi, boleh berhubung melalui SMS, WhatsApp dan Instagram dengan rakan di seluruh dunia.

Saya kurang pasti dengan peraturan di dalam penjara pada masa kini.

Perhubungan intim dengan isteri atau suami juga terhalang, kecuali di sesetengah penjara di negara lain yang menyediakan kemudahan untuk tujuan itu, ataupun apabila si banduan itu berada di rumah sakit.
Tidak kiralah jika sakitnya itu ialah sakit biasa atau sakit yang diada-adakan.

Walaupun suasana dalam penjara berbeza-beza, sesetengah penjara di negara maju adalah lebih selesa dari rumah setinggan yang didiami seharian di negara membangun..

Waktu saya ditahan dalam lokap di sebuah balai polis di Perak pada tahun 1962, saya dapati makanan yang diberi kepada banduan lebih sedap dari yang saya perolehi di asrama sekolah.

Waktu menjadi timbalan menteri dalam negeri saya pernah melawat penjara di Bath, United Kingdom.
Ketua wardennya bernama Wilson, yang saya kenal waktu saya menjadi pelajar di UK.

Beliau sering memastikan agar makanan untuk banduan akan dinikmati oleh seorang warden yang bertugas terlebih dahulu untuk mengelak dari banduan membuat aduan mengenai mutu makanan.

Bila selesai warden makan barulah semua banduan berbaris untuk mendapat makanan yang sama. Slogannya ialah, “apa yang baik untuk warden juga baik untuk banduan”.

Inilah cara untuk menjamin mutu makanan untuk banduan. Agak lumayan rasanya kerana ianya juga menjadi makanan untuk warden.

Pernah berlaku di Malaysia seorang jutawan telah berjaya, atas daya usahanya sendiri, membiaya usaha untuk melengkapkan bilik penjaranya dengan kemudahan pendingin hawa, sehinggalah diketahui oleh pihak atasan.

Persepsi mereka yang tidak pernah melawat penjara, atau bekerja di penjara atau berada di dalamnya sebagai banduan agak berbeza.

Pernah berlaku seorang kawan saya tidak mahu tidur di atas katil atau tilam sebagai tanda solidariti dengan seorang rakannya yang ditahan di penjara ekoran peristiwa demonstrasi pelajar.

Setelah beberapa bulan kawan saya ini tidur di atas lantai simen dan hidup secara sederhana, namun kemudian sikap kawan saya ini berubah dan mula tidur di atas katil.

Ini berlaku setelah beliau melawat kawannya di penjara Kemunting dan melihat rakannya hidup dengan agak selesa dan tidurnya juga di atas katil dengan tilam yang berlapik dengan kain cadar.

Keadaan ini berbeza sama sekali dengan dengan situasi yang dibayangkannya. Rakannya yang menjadi tahanan itu dapat makan nasi lemak yang dibeli oleh warden dan juga dapat membaca suratkhabar setiap hari.

Ada juga banduan yang lulus peperiksaan kerana berpeluang masuk ke dalam penjara. Saya katakan “peluang” kerana besar kemungkinan banduan yang saya kenali ini tidak mungkin lulus peperiksaannya jika berada di luar penjara kerana beliau terlalu aktif dalam berbagai kegiatan sosial.

Malah ada seorang banduan yang saya kenali akhirnya menjadi profesor setelah lulus peperiksaannya semasa dalam penjara.

Tahanan dalam penjara luar negara itu mendakwa bahawa beliau dipenjarakan secara salah kerana beliau sebenarnya cukup berkaliber untuk menjadi seorang profesor.

Saya menegur beliau dan menjelaskan bahawa waktu beliau dipenjarakan beliau belum menjadi profesor. Itu bermakna ada beza antara statusnya sebagai profesor dengan status dahulunya sebagai banduan.

Bukan profesor yang dipenjarakan tetapi bantuan yang pernah bersalah telah menjadi seorang profesor.
Penjara bahasa

Tanpa kita sedari, ada satu jenis penjara lagi yang semua manusia berada di dalamnya. Iaitu penjara bahasa.

Oleh kerana konsep penjara itu melibatkan putus komunikasi maka konsep bahasa sebagai penjara ialah dari sudut terpisahnya kita dari ilmu yang tidak ada dalam bahasa yang kita mahir di dalamnya.

Waktu di Sekolah Melayu Yan saya kenal tiga orang India dari suku Tamil. Nama asal Talib ialah Thanjimalai dan beliau menjadi operator alat tayangan filem di pawagam Yan Talkies.

Seorang lagi bernama Salim yang nama asalnya tidak kami ketahui. Dia hanya dikenali sebagai Tambi yang bererti adik di dalam bahasa Tamil. Iaitu panggilan dirinya apabila bercakap dengan Thangimalai. Tambi jadi pelayan dalam Yan Talkies kerana syarikat sarkis yang menjadi majikan terdahulunya telah muflis setelah membuat pertunjukan di Yan.

Waktu di Sekolah Ibrahim Sungai Petani saya kenal dengan Cikgu Fernandez dan rakan wanitanya Cikgu Pooninapathy. Walaupun namanya Fernandez cikgu ini dari suku Tamil. Cikgu Veerasingam juga Tamil tetapi wajahnya seperti Eurasian. Rakan karib saya ialah Sathiasegaran dan Dato' Saravanan yang jadi Exco Kedah waktu saya jadi Menteri Besar.

Waktu di MCKK saya berkawan dengan pelayan dewan makan bernama Auli dan Madhavan. Guru bersuku Tamil pula ada yang bernama Mr Naidu

Waktu di hospital pada tahun 1960, semasa saya di Tingkatan 4 di MCKK, doktor dan jururawat serta pembantu hospital di Hospital Besar Ipoh semuanya dari suku Tamil belaka.

Oleh itu saya pun belajar bahasa Tamil.

Tetapi, semua mereka sepakat menyatakan bahawa saya tidak akan ke mana jika saya fasih dalam bahasa Tamil sekalipun. Bagi mereka yang hanya mengerti bahasa Tamil mereka sebenarnya berada dalam penjara bahasa Tamil.

Ini bererti mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa lain dan tidak bolah menimba ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Tamil. Penjara di sini membawa maksud pemutusan dari sumber ilmu yang banyak dalam bahasa yang banyak ilmu di dalamnya.

Bagaimana pula dengan mereka yang hanya mengetahui, mempelajari dan fasih dalam bahasa Inggeris?
Dia juga sebenarnya berada dalam penjara bahasa Inggeris, tetapi, oleh kerana ilmu yang ada dalam bahasa Inggeris itu banyak sekali maka penjaranya terlalu besar dan penuh dengan ilmu pengetahuan di dalamnya sehingga dia tidak merasa terperangkap.

Malahan orang seperti ini tidak mengetahui bahawa beliau terperangkap kerana berada dalam penjara bahasa Inggeris. Beliau tidak merasa kerugian kerana ilmu di dalam bahasa Inggeris begitu banyak dan tidak mungkin dapat dipelajari sepanjang umurnya.

Oleh kerana penjara bahasa Inggeris itu begitu luas, hilanglah perasaan terputus hubungan dengan ilmu pengetahuan yang ada dalam bahasa lain. Hampir semua ilmu ada dalam bahasa Inggeris.

Hampir semua ilmu yang ditulis dalam bahasa lain telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Sebagaimana juga buku dalam bahasa Yunani dan Latin yang bermutu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab untuk membolehkan umat Islam yang fasih dalam bahasa Arab mempelajari ilmu dari bahasa asing itu.

Oleh kerana itu, bangsa yang maju seperti Jerman dan Jepun sekalipun terpaksa mengajar sebanyak mungkin rakyatnya, jika tidak semua sekalipun, untuk belajar bahasa Inggeris.

Jerman dan Jepun terpaksa berbuat demikian walaupun dalam bahasa mereka itu sendiri banyak ilmu, termasuk hasil terjemahan dari bahasa lain selain ilmu hasil dari penyelidikan yang mereka jalankan sendiri.

Arab ialah bahasa untuk ugama Islam. Setelah perintah “Iqra'' diturunkan, cerdik pandai Islam telah membaca bukan saja al-Quran yang baru diturunkan dengan ayat pertama itu, tetapi juga membaca buku ilmu dalam bahasa Yunani dan Latin yang telah diterjemahkan.

Begitu juga halnya dengan proses menterjemahkan buku dari bahasa lain ke dalam bahasa Melayu boleh dianggap sebagai kerja memperkayakan bahasa Melayu.

Bahasa ialah gudang ilmu yang ada dalam bahasa berkenaan. Bahasa itu dianggap kaya jika banyak ilmu di dalamnya sebagaimana seorang itu dianggap kaya kerana ada harta dan wang yang banyak. .
Penjara kawan

Yang jarang kita dengar ialah penjara kawan kerana tawanan budi dan bahasa. Semua insan mempunyai kalangan sahabat dengan pengalaman yang sama yang menjadi gam atau simen yang mengikat atau mencantumkan sesama mereka.

Kawan yang ada di sekelililing seseorang tokoh itu boleh menjadi jambatan yang berguna yang membuka jalan, fikiran dan pandangan kepada apa yang berlaku di persekitaran dan di dalam media cetak dan elektronik.

Kawan itu juga boleh menjadikan diri mereka sebagai dinding atau benteng untuk menghalang seseorang tokoh itu dari berhubungan dengan orang orang lain yang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza atau yang bertentangan.

Kawakan-kawan ini ingin menghalang tokong itu mengetahui perkara tersebut, demi kepentingan peribadi.
Jika di bangku sekolah kita berkawan kerana persekitaran yang sama tetapi apabila sudah bekerja dan mendirikan rumahtangga maka kerana pengalaman, pendedahan dan persekitaran yang berbeza, yang kita lalui, membuat kita renggang dengan kawan-kawan persekolahan.

Tetapi, apabila sudah tua dan kerana batasan kegiatan maka kita kembali kepada sahabat sepersekolahan untuk mengenang kembali waktu bersama sahabat sedarjah di waktu kecil.

Begitulah pengalaman saya dengan kawan-kawan sedarjah waktu di MCKK dari tahun 1957 hingga tahun 1963. Yang anehnya ingatan yang mendekatkan hubungan kami yang sedarjah ialah di waktu kami dirotan oleh guru besar NJ Ryan pada tahun 1961.

Hukuman ini dijalankan kerana kami melakukan perarakan tradisi oleh pelajar tingkatan lima pada malam terakhir sebelum peperiksaan bermula pada keesokan harinya. Perarakan tradisi ini dinamakan Tari Naga.
Itulah puncanya sehingga hari ini kami yang berumur purata 71 tahun ke atas membentuk kumpulan pengguna WhatsApp dengan nama Naga Taqwa.

Pengalaman saya waktu bekerja di bank, kemudiannya, tidak meninggal impak yang mendalam dari segi hubungan persahabatan tetapi sangat mempengaruhi daya bekerja. Lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan di bank tempat saya bekerja terdiri dari kaum bukan Melayu yang terlibat dalam perniagaan yang besar-besar.

Saya tidak membina hubungan persahabatan melalui kelab golf dan rekreasi atau badan sosial seperti
Rotary Club atau NGO lain.

Dalam dunia politik pula hubungan persahabatan tidak begitu akrab mungkin kerana saya terlalu awal menduduki jawatan dalam kabinet. Oleh kerana bebanan kerja yang berat maka di luar pejabat saya lebih menumpukan perhatian kepada keluarga kerana saya dianugerahkan amanah tujuh orang anak oleh Allah.

Saya perhatikan di peringkat apa jua seseorang itu berada dalam politik maka rakan atau sahabat yang terdekat dengan seseorang tokoh politik itu mempunyai pengaruh besar ke atasnya.

Ada juga tokoh politik yang dipenjarakan oleh isteri dan mertua kerana cemburu atau harta.

Biasanya seseorang yang sedang dalam proses mendaki tangga politik banyak pengaruh sahabatnya yang membantu atas kenaikannya.

Apabila sudah naik ke atas maka tokoh ini, tanpa disedarinya, akan menghadapi masalah yang besar kerana pengaruh kawan dan kenalan baru. Golongan ini akan cuba mendekati tokoh berkenaan dengan terlebih dahulu mempelajari kelemahan dan minat tokoh berkenaan.

Ada kenalan saya yang berwatak playboy mempunyai ramai sahabat yang memiliki kecenderungan yang sama sebagai playboy. Rakan-rakan beginilah yang saya gelarkan sebagai rakan atau sahabat seperdosaan.

Oleh kerana banyak rahsia peribadi yang tersimpan dalam ingatan kawan-kawan, susah bagi seseorang bersikap tegas terhadap kawan sedemikian untuk mengelak dari kebocoran rahsia yang boleh merugikan.

Ikatan budi antara sahabat seperdosaan adalah satu bentuk penjara jika kebebasan tokoh untuk bertindak menjadi terbatas kerana menjaga hubungan persahabatan.

Oleh kerana usaha untuk memastikan rahsia peribadi tidak terdedah maka seseorang tokoh akan berusaha menanam budi, dengan menambah kekayaan kepada rakan sekelilingnya.

Maka dengan itu hubungan persahabatan, kerana ikatan budi dan jasa, akan lebih menebal dan ianya boleh menjadi perisai kepada tokoh agar dilindungi oleh penjara persahabatan supaya kekal bermaustautin di lembah dosa.

TAN SRI SANUSI JUNID seorang veteran Umno dan juga penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad. Tulisan ini pertama kali terbit dalam blognya, sanusijunid.blogspot.my.

Tiada ulasan: