Rabu, 7 Oktober 2015

Amirudin: Petisyen 25 bukan untuk tolak Azizah

MALAYSIAKINI


 


Petisyen 25 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bukan untuk menolak kepimpinan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, kata seorang anggotanya Amirudin Shari.

Exco kerajaan Selangor itu sebaliknya berkata, ia hanya menuntut penjelasan mengenai kerjasama baru bersama Pakatan Harapan, lapor Utusan Malaysia.

“Kita nak dapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara dalam pakatan pembangkang baharu.
“Isu ini penting kerana melibatkan kesepakatan parti-parti politik dalam barisan pembangkang untuk pilihan raya umum akan datang dan masa depan PKR itu sendiri.

“Justeru, kepimpinan parti harus membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Jadi tuntutan itu adalah supaya diadakan mesyuarat,” Amirudin dilaporkan sebagai berkata.

Amirudin mengulas dakwaan ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, yang digantung keanggotaan, bahawa sekumpulan pemimpin kanan parti itu membentuk kartel bagi merancang komplot menggulingkan Azizah.

“Mengenai undi tidak percaya dan menjatuhkan presiden PKR ini satu imaginasi oleh orang yang tidak ada kerja.

“Kita ada perbezaan pandangan, maka adalah lebih baik perbezaan itu dapat dibawa dalam satu mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini Badrul dilapor mendakwa komplot itu dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan pada 22 September.

Dakwa Badrul lagi, kartel tersebut dikatakan mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas MPP PKR diadakan dengan agenda menarik balik penyertaan parti itu daripada gabungan baru pembangkang.

Isnin lalu, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut menafikan dakwaan perpecahan dalaman parti itu ekoran penubuhan Harapan Baru.

Azmin turut menegaskan bahawa petisyen yang ditandatangani oleh 25 anggota pimpinan pusatnya masih boleh dibincangkan.


Tiada ulasan: