Khamis, 16 April 2015

Setiausaha sulit menteri ditahan SPRM kerana tuntutan palsu RM500,000

THE MALAYSIAN INSIDER


Suspek yang dituduh membuat tuntutan palsu berjumlah setengah juta ringgit dikatakan setiausaha sulit kepada seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 April, 2015.Suspek yang dituduh membuat tuntutan palsu berjumlah setengah juta ringgit dikatakan setiausaha sulit kepada seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Setiausaha sulit seorang menteri Kabinet yang didakwa membuat tuntutan palsu sebanyak RM500,000 ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor Borneo Post semalam.

Akhbar itu mendakwa suspek berusia 41 tahun itu merupakan setiausaha sulit kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Entulu bagaimanapun menafikan suspek didakwa, dan cuma disiasat.


Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching semalam untuk ditahan reman sehingga 20 April. Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Low Chin How membuat permohonan melengkapkan siasatan mereka dan pendengaran dibuat secara tertutup di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman, lapor Borneo Post.

Walaupun ada bilik mahkamah khas mendengar sebarang kes tahanan reman, peguam bela Wit Malang yang mewakili suspek, memohon agar pendengaran permohonan dibuat secara tertutup atas alasan anak guamnya adalah individu yang sangat penting, lapor akhbar berkenaan.

Suspek disiasat kerana didakwa membuat tuntutan palsu bagi dana kerajaan beberapa program dan jumlah terbabit dikatakan sebanyak RM500,000.

Menurut Boreo Post, siasatan akan dijalankan di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur

.

Tiada ulasan: