Khamis, 16 April 2015

Ketua Umno bahagian terus desak Jho Low pulang beri penjelasan

 THE MALAYSIAN INSIDER


Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said antara yang mahu ahli perniagaan Low Taek-Jho tampil beri penjelasan peranannya dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 April, 2015.Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said antara yang mahu ahli perniagaan Low Taek-Jho tampil beri penjelasan peranannya dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Tekanan terus diberikan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kali ini daripada ketua Umno bahagian yang mendesak beliau pulang beri penjelasan.

Pemimpin akar umbi Umno mencabar Low, juga dikenali Jho Low, supaya tampil menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sekiranya tidak bersalah.

"Kami desak Jho Low segera pulang ke Malaysia, beri penjelasan kepada PAC mengenai isu 1MDB, kita mahu lihat sama ada beliau terlibat atau tidak.


"Kalau benar ingin bantu, pulang ke tanahair dan beri penerangan," kata Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini. Gesaan juga dinyatakan oleh Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berkata Low perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjelaskan permasalahan melanda syarikat pelaburan dana strategik negara itu.

"Jadi sekarang kita mahu Low bertanggungjawab sepenuhnya, berani buat berani tanggung," katanya.
Dua lagi ketua Umno bahagian turut membuat desakan sama terhadap Low dan berkata masalah 1MDB berpunca daripada ahli perniagaan tersebut.

"Tetapi perbuatannya itu tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menambah suasana kurang senang dalam isu 1MDB," kata Ketua Umno Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin pula menyifatkan Low yang mengaitkan Umno dalam skandal 1MDB sebagai tidak wajar.

"Dia seharusnya lebih spesifik, mengapa dia menyebut Umno. Ini akan menyebabkan ramai ahli dalam parti yang tidak ada kena mengena dengan permasalahan itu tidak selesa," kata Sharkar seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Low, dalam wawancara bersama majalah kewangan antarabangsa Euromoney baru-baru ini melahirkan kekecewaan kerana dituduh sebagai punca skandal kewangan 1MDB.

Menurut Low, dirinya menjadi mangsa politik Malaysia apabila dijadikan sasaran utama, sedangkan pihak lain yang bertanggungjawab terlepas tindakan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia terpaksa bersuara kerana berasa isu 1MDB semakin mengarut.

"Mereka menuding jari ke arah saya seolah-olah cuba mengatakan: 'Ini semua salah anak muda Cina ini. Disebabkan dia, 1MDB gagal kerana dia yang menasihati PM dan sekarang semuanya gagal'."

Low pada Mac lalu menafikan terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dalam 1MDB.

Katanya, hala tuju 1MDB diputuskan dan diluluskan sepenuhnya mengikut rangka pentadbiran korporat, yang melibatkan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.

"Jadi kenapa mempolitikkannya dan cuba menyalahkan saya sedangkan saya tidak ada kuasa membuat keputusan?"

Low ketika ditemu bual Euromoney di Hong Kong juga menyalahkan Umno menjadi dalang cuba memutarbelitkan isu.

Isu 1MDB mencetuskan pelbagai kritikan terhadap Putrajaya, malah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga lantang mempersoalkan ketelusan syarikat pelaburan negara milik kementerian kewangan itu.

Tiada ulasan: