OLEH MELATI A JALIL
Tan Sri Khalid Abu Bakar
hari ini enggan terus terbabit dalam kontroversi mengenai kenyataan yang
bercanggah dibuat antaranya dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi berhubung demonstrasi membantah salib gereja di Petaling
Jaya pada Ahad.
Bercakap pada satu sidang media, ketua polis negara (KPN) itu berkata,
beliau tidak akan campur tangan dalam penyiasatan sekiranya abangnya
disiasat.
"Saya sudah katakan, saya tak mahu ulang apa saya kata. Keadaan sudah
tenang, dan saya gesa semua, termasuk portal berita, tak perlu tonjolkan
isu ini lagi," katanya.
Semalam Khalid berkata, tidak ada unsur hasutan dalam tunjuk perasaan
oleh sekumpulan 50 orang Islam terhadap sebuah gereja yang terletak di
sebuah rumah kedai di Taman Medan itu, kerana demonstrasi itu bukan
terhadap agama Kristian, tetapi mengenai lokasi gereja itu di kawasan
kejiranan yang sebahagian besarnya Melayu-Islam.
Kenyataan Khalid dibuat susulan pendedahan yang abangnya, Datuk Abdullah, merupakan salah seorang penunjuk perasaan itu.
Zahid bagaimanapun berkata semalam, protes itu memang bersifat hasutan, bertentangan dengan pandangan yang diberikan Khalid.
Hari ini di ibu pejabat polis Bukit Aman, Khalid memberi jaminan yang
setiap laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu akan disiasat.
"Biar pihak berkuasa, majlis kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan polis jalankan siasatan dan ambil tindakan sewajarnya.
"Saya tidak bimbang kalau tindakan diambil atas abang saya sekiranya
beliau terlibat melakukan sebarang kesalahan. Kalau ada sebarang
siasatan, saya tidak akan terlibat.
"Saya betul-betul profesional dalam hal ini. Tidak ada sentimen
adik-beradik yang akan mempengaruhi tindakan kami," kata Khalid.
Beliau juga menggesa media agar tidak terus menonjolkan isu tersebut
kerana ia melibatkan agama dan tidak akan mendatangkan manfaat kepada
mana-mana pihak sekiranya ia dipanjangkan.
"Saya merayu kepada anda semua, ada perkara yang kita boleh panjangkan
dan sebarkan, tetapi isu mengenai kaum dan agama, kita tak boleh buat
main."
Katanya, media juga bertanggungjawab dan harus menyedari isu agama tidak boleh sewenang-wenangnya diperbesarkan.
"Kalau kita sengaja mainkan isu ini, tidak ada faedahnya kepada
mana-mana pihak; kita tak sepatutnya bermain dengan sentimen rakyat.
"Ia tidak baik untuk negara kita yang berbilang bangsa dan berbilang agama ini."
Ditanya mengenai seorang wartawan yang diserang semasa membuat liputan
tunjuk perasaan itu, beliau berkata polis akan bertindak sekiranya
laporan dibuat.
"Saya sudah katakan, jika dia buat laporan polis, kami akan ambil tindakan."
Mengenai tuduhan yang beliau mengamalkan “double-standard”, Khalid mencabar mereka yang menuduhnya begitu untuk membuktikannya.
Katanya, tuduhan itu bukan perkara baru baginya sejak menjadi Ketua Polis Selangor dahulu.
Pada Ahad, kira-kira 50 orang berkumpul di luar sebuah gereja baharu di
Taman Medan, Petaling Jaya menuntut salib yang dipasang di bangunan itu
ditanggalkan.
Penunjuk perasaan itu dilaporkan berkata, kewujudan salib di kawasan
yang majoriti penduduknya beragama Islam itu mencabar agama dan boleh
mempengaruhi iman anak muda.
Salib itu kemudiannya diturunkan pemimpin gereja beberapa jam kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan