Isnin, 13 April 2015

PRK Permatang Pauh: Undi BN adalah undi GST dan hutang 1MDB

LGE
Roketkini.com

 
GEORGE TOWN: DAP akan memberikan sokongan penuh kepada PKR untuk menghadapi cabaran BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei nanti,  kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kita beranggapan bahawa PRK di Permatang Pauh adalah pertandingan 50-50, dan saya nasihat kepada rakan-rakan PKR supaya tidak terlalu yakin untuk menang.

“Kita sudah tentu akan memberikan sokongan untuk menghadapi cabaran besar dari BN nanti,” katanya dalam sidang media di sambutan ulang tahun ke 50 Lembaga Muzium Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berharap pengundi membuat pilihan bijak dengan memberikan undi kepada parti yang membela nasib mereka.

“Kita beritahu rakyat bahawa sokongan kepada BN adalah sokongan kepada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)

“Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menyebut bahawa sesiapa yang menyokong Najib, itu bermakna mereka menyokong hutang 1MDB.

“Jadi, saya harap rakyat dapat memilih parti mana yang membela hak mereka, yang menentang GST dan menentang hutang 1MDB,” ujarnya.

Guan Eng turut memberi amaran kepada BN untuk tidak menjadikan PRK sebagai peluang mengalihkan perhatian dari masalah dalaman yang melanda mereka di Kedah.

“ADUN-ADUN mereka di sana sekarang telah mencabar Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, dan mungkin ada yang akan paksa beliau letak jawatan.

“Kita harap UMNO tidak gunakan PRK ini untuk mengalihkan perhatian daripada krisis ini,” tegas Guan Eng.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong setelah penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon keluarganya.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian 7 Mei.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: