Isnin, 13 April 2015

Taman Permata Impian Kulai terbengkalai, jawapan Menteri dan Jabatan Perumahan bercanggah

teo-nie-ching-taman-permata-impian-kulai

 Roketkini.com


KULAI : Projek terbengkalai di Taman Permata Impian, Kulai hampir 12 tahun masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.

Bimbang dan simpati dengan nasib pembeli, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching membawakan perkara tersebut ke Parlimen.

Berdasarkan jawapan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan, status projek tersebut oleh pemaju Renewed Global Sdn. Bhd sejak 2003 yang terdiri daripada 355 unit rumah kedai dengan komposisi 224 unit telah terjual, dalam pemulihan dijangka siap pada tahun 2016.

Menurut Menteri, pemajuan projek itu dibawah pemantauan pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kerana tidak dilesenkan di bawah Akta 118.

“Pihak pemaju pula menyepi. Sedangkan pembeli dikejar hutang bank yang memerlukan mereka membayar pinjaman walaupun rumah masih belum dimiliki,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Difahamkan, satu mesyuarat di antara wakil penduduk, pemaju dan bank pada 4 Mac 2015 di Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta Ir Lai Liang Koong mengesahkan pemaju Renewed Development Sdn Bhd gagal meneruskan projek tersebut dan berjanji memulangkan semula wang kepada pembeli-pembeli selain menyelesaikan bayaran dengan bank pembiaya dalam tempoh dua minggu.

Namun ujar Nie Ching, jawapan menteri itu tidak berlaku sama sekali sehingga sekarang, bahkan bercanggah dengan hasil mesyuarat.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus membangkitkan isu ini di parlimen, sehingga pihak berkaitan dan bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Salah seorang pembeli, Ghazali Basiran dilaporkan berkata, wang dijanjikan (pemaju) belum dipulangkan, dan beliau terpaksa meneruskan pembayaran kerana bimbang disenaraihitam oleh pihak bank.

“Duit KWSP sebanyak RM16 ribu yang disimpan selama ini terpaksa digunakan untuk membayar hutang bank meskipun rumah belum lagi dimiliki.

“Diharap ada pihak yang tampil untuk menyelesaikan masalah,” kata Ghazali yang tertekan dengan situasi tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: