Rabu, 15 April 2015

Malaysiakini kekal no 1 bagi bulan Februari

MALAYSIAKINI


 


Malaysiakini, portal berita bebas utama di negara ini, mengekalkan kedudukan nombor satu sebagai laman web berita paling dilayari melalui komputer di rumah dan tempat kerja bagi bulan kedua berturut-turut tahun ini.

Menurut laporan comScore MMX ™ untuk bulan Februari 2015, Malaysiakini.com mengekalkan kedudukan teratasnya dalam kategori laman web 'berita dan maklumat' dengan sejumlah 1.17 juta pelawat unik bulanan, turun daripada 1.25 juta dalam bulan Januari.
 
The Star Online di tempat kedua dengan 1.07 juta pelawat unik, manakala The Malaysian Insider di tempat tiga dengan 957,000 pelawat unik.

Laman utama lain termasuk portal berita berbahasa Melayu ialah masing-masing Harian Metro, Sinar Harian dan diikuti Berita Harian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran, pembacaan berita dalam talian terus berkembang di Malaysia dan di tempat lain.

"Dengan pertumbuhan besar dalam bidang mudah alih, ia menjadi jelas bahawa laman-laman web kini menguasai agenda berita," katanya.

Sementara itu, jumlah penonton KiniTV Malaysiakini telah meningkat dua kali ganda sejak 12 bulan yang lalu, untuk mencapai 393,000 pelawat unik.

Dalam perbandingan di kalangan portal berita video dalam kategori yang sama, KiniTV kini membayangi peneraju pasaran, Astro Awani, yang menarik 396,000 pengunjung.
                                              
Ketua Pegawai Eksekutif KiniTV, Yong Kai Ping berkata ia ekoran pencapaian luar biasa hasil dedikasi pasukan kecilnya dengan 13 tenaga kerja.

Pasukan itu bersama-sama menyumbang, bukan sahaja klip video pendek mengenai peristiwa penting, tetapi juga siaran langsung dan muat naik video serentak, untuk membolehkan penonton terus "merasai" berita yang dilaporkan.

KiniTV mencatatkan jumlah tontonan yang kedua tertinggi dalam bulan Februari. Ia mencecah rekod 8.6 juta tontonan video pada bulan Mac, mengatasi rekod sebelum ini 7.21 juta ketika pilihan raya umum kelima pada 2013.
   
KiniTV telah memulakan buletin berita harian sejak beberapa minggu yang lalu dan ia akan mengadakan satu siri 'talk show' pada bulan-bulan akan datang.

comScore, yang mengeluarkan laporan bulanan, akan mengumumkan keputusan bagi bulan Mac pada akhir bulan depan. Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu merupakan peneraju global dalam analisis media digital.


Tiada ulasan: