OLEH YASMIN RAMLAN
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
membuatkan rakyat semakin sengsara kerana ia bukan saja dikenakan kepada
golongan kaya, malah miskin juga, kata pemimpin PAS Datuk Ahmad Yakob
hari ini.
Menteri besar Kelantan itu berkata, dengan adanya GST, kezaliman secara
tidak langsung berlaku terhadap rakyat yang memang sedia menanggung
kesusahan.
"Kezaliman secara tidak langsung berlaku kepada rakyat yang sedia menderita atas sebab lain.
"Yang pertamanya ialah nilai mata wang kita jatuh. Wang kita jatuh.
Untuk berbelanja di Thailand pun, sudah banyak bezanya. Dan kita juga
sudah jatuh ditimpa tangga," katanya.
Beliau berucap di depan kira-kira 1,000 penyokong yang hadir pada
perhimpunan aman anti GST yang digelar Himpunan Derita Rakyat (Hindar)
anjuran PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur petang ini.
Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, mengikut sejarah,
Islam tidak membenarkan cukai dikutip daripada golongan miskin, tetapi
di negara ini, orang miskin turut terkena tempias GST.
"Orang kaya kena, orang miskin pun kena," katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangannya jika wang kutipan hasil GST itu
berlegar di kalangan orang kaya saja, yang mana ia bercanggah dengan
pemahaman Islam.
"Kita bimbang pungutan ini jadi satu perkara yang bertentangan dengan
Islam. Takut wang GST ini berlegar kepada rakyat yang kaya raya saja.
Rakyat miskin juga menjadi menderita," katanya.
Ahmad berkata, perubahan drastik yang dapat dilihat di kalangan
masyarakat umum sekarang ialah apabila jumlah pengunjung pusat
beli-belah semakin berkurangan.
Beliau turut menyentuh mengenai ketirisan yang didakwanya ketara
berlaku dalam negara ini, melibatkan jumlah wang berbilion ringgit.
"Rakyat sangat-sangat memerlukan pembelaan. Apabila berlakunya GST, mereka sangat-sangat terkesan," katanya.
Beliau berkata, setiap sen wang rakyat mesti dijaga.
"Sekiranya ia dijaga pihak yang bertanggungjawab, ketirisan tersebut
pasti tidak akan terjadi dan nasib rakyat dapat dibela,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan