OLEH KC NAZARI
Polis
bertindak menahan 4 peserta himpunan anti cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) berhampiran Hotel Tropical Inn, Johor Baru sekitar
jam 6.40 petang ini.
Mereka terdiri daripada 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) – Jimmy
Puah (Bukit Batu) dan Tan Hong Pin (Mengkibol) serta seorang pembantu
Puah, Jimmy Tan dan seorang aktivis anti GST.
Penahanan itu disahkan sendiri aktivis anti GST itu, Sidiqin Omar, yang
kini berada di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, Johor Baru.
Sidiqin berkata, anggota polis yang menahannya memaklumkan mereka
ditahan bagi "membantu siasatan dan memberi keterangan" berkaitan
Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Setakat ini, katanya, polis meluangkan masa selama 20 minit mengambil
keterangannya dan yang lain mengenai butiran seperti nama penuh, alamat
rumah dan pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau belum pasti jika mereka akan dikehendaki bermalam di lokap.
"Kami masih menunggu pegawai penyiasat kes ini memberi maklumat selanjutnya," kata Sidiqin kepada The Malaysian Insider.
Katanya, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Hassan Karim akan
bertindak sebagai peguam mewakili keempat-empat yang sedang ditahan.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pemuda PKR Johor Akmal Nasir turut memaklumkan polis sedang mencarinya untuk turut ditahan.
"Polis masih belum menghubungi saya dan menurut mereka yang ditahan,
nama saya disebut-sebut sebagai orang ke-5 yang akan ditahan," katanya
kepada The Malaysian Insider.
Beliau kini dalam perjalanan ke Batu Pahat untuk mempengerusikan satu mesyuarat PKR.
Himpunan anti-GST di Johor Baru hari ini adalah sebahagian daripada
agenda siri himpunan #KitaLawan yang pada mulanya bertujuan membantah
pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan tersebut diadakan bagi merancakkan suasana dan membina
momentum menjelang himpunan besar-besaran anti GST #KitaLawan di Kuala
Lumpur pada 1 Mei ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan