Selasa, 14 April 2015

AGC rayu hukuman ke atas 'penceroboh' Umno

MALAYSIAKINI


 


Pejabat peguam negara mengemukakan rayuan ke atas hukuman ringan dalam kes penyokong Umno yang menceroboh ke dalam bangunan DUN Pulau Pinang tahun lalu.

Majistret pada bulan lalu mengenakan hukuman denda RM1,500 ke atas 15 penyokong Umno tersebut, dan RM1,000 ke atas seorang lagi atas perbuatan berkenaan.

Timbalan ketua bahagian pendakwaan AGC, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria mengesahkan perkara itu kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Pejabat ini telahpun merayu ke atas hukuman yang dijatuhkan ke atas kesemua tertuduh,” kata Mohamad Hanafiah dalam suratnya bertarikh 3 April.

AGC merujuk kepada satu surat oleh Lim bertarikh 26 Mac yang mengadu mengenai keputusan untuk mendakwa 16 individu tersebut dengan tuduhan ringan.

Lim meminta AGC menjelaskan alasan untuk mendakwa individu berkenaan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan bukannya Seksyen 448 akta sama.

Seksyen 447 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan jenayah menceroboh yang membawa hukuman penjawa tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 448 pula lebih menjurus kepada menceroboh kediaman yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Tiada ulasan: