Selasa, 14 April 2015

Antara jambatan bengkok dan jambatan emas

MSO



Elok juga Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak berbalas tembak untuk membela diri masing-masing setidak-tidaknya boleh meringankan kepala daripada ditimpa beban cukai barang dan perkhidmatan, GST 6 peratus. Setelah kesekian lama Najib mengambil keputusan untuk tidak menjawab mulut Mahathir, akhirnya PM itu terpaksa juga membuka kunci mulutnya.

Barang kali Najib itu pun naik bengang apabila Mahathir tidak henti-henti melepaskan Scud gertakannya.

Semuanya terluah menerusi temubual khas yang dirakamkan terlebih dahulu kemudian baru disiarkan oleh TV3 dua tiga malam lepas. Kenapa tidak RTM, sebab kononnya TV3 mempunyai penonton yang ramai dan ia tidak dilihat sebagai setesen itu setesen tv rasmi kerajaan, maka Najib memilih TV3. Wahal TV3 lebih rasmi daripada RTM. Cara Najib itu juga menunjukkan RTM sudah tidak ada kelas lagi. Bukan media propagadis terbaik untuk Najib.

Antara TV3 dan RTM juga sudah terbalik dari segi kebebasan dan kerasionalannya.

Walaupun penjelasan dan jawaban Najib tidak memuaskan hati banyak orang, tetapi itulah jawaban Najib. Itulah kemampuan anak Razak Hussein itu. Najib boleh mendabik dada kononya dia sudah menjawab dan memberi penjelasan, kandati pun jawaban dan penjelasan itu bertaraf sampah sahaja.
Saya percaya orang mendengar rakaman temubual khas itu menyampah dengan Najib, kecuali mereka yang sudah dikunci dan "dionanikan" seluruh pancara indranya,

Pun begitu Mahathir memberi reaksi juga kepada jawaban Najib itu. Terbaru Mahathir bercakap mengenai jambatan bengkok yang dikatakan Najib, Mahathir kecewa kerana jambatan bengkok itu tidak dibina. Mahathir membalas balik mengatakan dakwaan Najib itu tidak betul.

Tetapi dalam frasa ayat sama Mahathir mengatakan Najib berbohong dan mungkir janji mengenai hal itu. Kata Mahathir semasa projek itu dicadangkan Najib bersetuju dan berjanji akan melaksanakan beberapa dasar-dasar yang digubal semasa beliau jadi PM.

Saya suka untuk meneliti mengenai perkara ini. Apakah Najib telah memberi pengakuan akan bina jambatan bengkok itu apabila dia mengambil alih jawatan daripada Abdullah Ahmad Badawi.
Mungkin begitu. Maka Mahathir berusaha keras menyerang Abdullah untuk membolehkan Najib menjadi PM seterusnya membina jambatan bengkok.

Macam nak rak Mahathir menyerang Pak Lah siang dan malam sehinggakan tidak ada masa rehat langsung. Hasilnya Pak Lah jadi bingong lalu mengambil keputusan meletakkan jawatan kemudian diserahkan kepada Najib. Mahathir berjaya menjatuhkan Pak Lah dan Najib berjaya menjadi PM.

Ironisnya dalam hal ini Najib tidak menggunakan kejayaanya jadi PM itu untuk membena jambatan bengkok yang Mahathir katakan dijanjikan Najib itu. Dalam hal ini jelas yang cerdik ialah Najib kerana berjaya menjadikan Mahathir sebagai alat untuk menyerang Pak Lah dengan janji (politik) nak bina jambatan bengkok. Secerdik-cerdik Mahathir, Najib berjaya juga menipu bekas PM itu.

Benarlah kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhir ke tanah jua. Itik sehebat mana kalis bulunya tetapi akhirnya daging direbus juga. Betulkah peribahasa baru ini?

Mengenang kisah jambatan bengkok menjadi projek idaman Mahathir ini ia tidak sama dengan kisah jambatan emas seperti mana disuruh oleh Puteri Gunung Ledang kepada Tun Mamat. Puteri Gunung Ledang meminta Tun Mamat agar Sultan Melaka membina jambatan emas dari gunung Ledang ke Istana Melaka sekiranya sultan itu mahu memperisterinya.

Apa disuruh Puteri Gunung Ledang itu sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Ia adalah helah untuk menolak peminangan sultan Melaka itu. Itu sahaja. Apakah Najib juga menggunakan terma atau formula Puteru Gunung Ledang, berjanji hendak membina jambatan bengkok kerana mengharap Mahathir serang Abdullah? Kalau benar begitu telahan saya, maka Najib berbuat sama dengan apa dibuat Puteri Gunung Ledang tetapi versinya agak songsang sedikit.

Sultan Melaka gagal menyiapkan jambatan itu, maka dia gagal memiliki Puteri Gunung Ledang, manakala Najib tidak membina jambatan bengkok itu, tetapi dia berjaya mendapat jawatan Perdana Menteri. Ternyata Najib sama licit dengan Puteri Gunung Ledang.


Tiada ulasan: