MALAYSIAKINI
Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta menyiasat dakwaan yang
mengatakan masih ada nama ketua keluarga mangsa banjir baru-baru ini
tercicir daripada menerima bantuan wang ihsan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd
Sharkar Shamsudin berkata, beliau menerima aduan masih ramai lagi ketua
keluarga terutamanya di daerah Temerloh yang layak menerima bantuan
tetapi tidak memperolehnya.
Katanya, jumlah mangsa banjir daerah Temerloh bertambah daripada 3,000
keluarga sebelum ini berikutan ada yang berpindah ke rumah jiran, sanak
saudara dan tidak ke pusat pemindahan.
"Sebelum ini seramai 3,000 mangsa banjir yang layak mendapatkan bantuan
wang ihsan RM500, namun jumlah itu kini telah bertambah lebih 4,000 dan
masih ramai belum menerimanya sedangkan mereka amat mengharap bantuan
itu.
Sehubungan itu MKN perlu segera menyiasat dan memastikan bahawa mereka
tercicir itu mendapat bantuan," katanya di Dewan Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina Khee Chee, di Temerloh semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan
wang ihsan kepada lebih 1,500 ketua rumah mangsa banjir Dewan Undangan
Negeri Semantan di sekolah berkenaan.
Walaupun wang ihsan itu sedikit, ia dapat membantu mengurangkan bebanan
mangsa banjir terbabit untuk menguruskan keluarga masing-masing, kata
beliau yang juga ADUN Lanchang.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang turut
memperuntukkan lebih RM2.4 juta bagi bantuan kepada pelajar terbabit
banjir dengan setiap pelajar mendapat RM120 seorang.
Di daerah Temerloh sahaja 3,911 pelajar tersenarai mendapat bantuan berkenaan, katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan