PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah menghormati keputusan Tunku Mahkota Johor
(TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatan sebagai
penasihat persatuan berkenaan, baru-baru ini.
Tengku Abdullah, bagaimanapun berkata baginda sentiasa terbuka dan
sedia menerima nasihat daripada semua pihak termasuk TMJ dalam usaha
membangunkan bola sepak negara.
"Saya tidak nafi memang ada kelemahan sedikit sebanyak tapi kita sedang
berusaha dan berharap untuk memperbaikinya...dan saya menghargai
pandangan Tunku Mahkota (Johor) dan pandangan yang lain.
"Saya mengalu-alukan dan terima sesiapa sahaja yang hendak memberi
pandangan. Bola sepak milik kita semua...bola sepak bukan hak saya,"
katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan bas oleh Bank
Rakyat kepada FAM, di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.
TMJ melalui laman Facebook 'Johor Southern Tigers' pada Khamis lepas, mengumumkan untuk meletak jawatan selaku penasihat FAM.
[ARTIKEL BERKAITAN: TMJ lepaskan jawatan penasihat Presiden FAM]
TMJ yang dilantik sebagai penasihat badan induk bola sepak negara itu
pada Oktober lepas oleh Tengku Abdullah, bertitah bahawa baginda tidak
mahu menjadi sebahagian daripada sebuah organisasi yang tidak adil.
Sementara itu, Tengku Abdullah berkata bahawa baginda berpuas hati
dengan peningkatan kesemua 24 pasukan negeri dan kelab yang bersaing
dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Terdahulu, baginda menerima tajaan sebuah bas oleh Bank Rakyat kepada
FAM yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan