Jumaat, 27 Februari 2015

RM7,500 ganti peti surat besi atasi surat penduduk hilang

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SUBANG JAYA: Isu kehilangan surat termasuk dokumen penting milik penduduk rumah Pangsa Kos Rendah PJS 7, Bandar Sunway selesai selepas 420 peti surat kediaman di situ diganti dengan peti surat yang lebih berkualiti.

Peti surat di 10 blok rumah pangsa itu diganti selepas mendapat peruntukan berjumlah RM7,500 daripada Pejabat Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Naib Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Kos Rendah PJS 7, Abd Rahman Punar berkata peti surat di rumah pangsa itu diganti kerana sudah terlalu uzur berikutan tidak pernah diganti sejak mula diduduki 20 tahun lalu.

“Sebelum ini peti suratnya diperbuat daripada papan sahaja. Mudah rosak terutama bila selalu terkena tempias air hujan dan air basuhan penduduk tingkat atas tetapi sekarang dengan diperbuat daripada plat besi lebih tahan lama dan selamat.

“Terima kasih banyak-banyak YB Hannah untuk peruntukan ini,” kata Abd Rahman dalam sidang media di Balai Masyarakat di rumah pangsa terbabit di sini, hari ini.

Hannah berkata, selain peruntukan bagi mengganti peti surat baru, pejabat beliau turut menyalurkan peruntukan sejumlah RM400 kepada Ahli Majlis untuk masyarakat disitu membeli 50 lampu hiasan bagi kegunaan setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.

“Selepas tamat perayaan Tahun Baru Cina, JMB akan simpan lampu hiasan ini supaya boleh digunakan pada tahun-tahun akan datang.

“Sejak beberapa tahun ini banyak kemudahan di bandar Sunway dah dinaik taraf termasuk kemudahan awam untuk kanak-kanak di sini seperti taman permainan mini,” kata Hannah.EZY

Tiada ulasan: