MALAYSIAKINI
Sikap tidak bertanggungjawab warga asing yang membanjiri ibu kota untuk bersiar-siar sempena cuti umum Tahun Baru Cina mengundang rasa marah dan resah orang ramai.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar Suria KLCC, Pasar
Seni dan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati ramai
daripada mereka meludah sesuka hati di kaki lima, stesen bas, taman,
mahupun di luar kawasan pusat beli belah.
Ramai dari mereka juga tanpa menghirau budaya dan peraturan setempat,
mengunyah sireh dan meludah merata-rata sehingga mengotorkan kawasan
sekeliling.
Di hab bas di depan KLCC, ramai warga asing dilihat meletakkan kaki
diatas tempat duduk sambil merokok dan membuang puntung rokok
merata-rata.
Bagi seorang pelajar kolej tempatan, Nurfarisha Aziz, 19 yang datang ke
ibu kota bersama rakannya berkata, hasratnya bersiar-siar tergendala
apabila melihat ramai warga asing melepak dan mundar-mandir di kawasan
sekitar luar Suria KLCC.
"Keseronokan kami bersiar-siar bertukar menjadi suram apabila melihat
tempat ini penuh dengan warga asing yang berpeleseran seakan ibu kota
ini negara mereka sendiri," katanya.
Tidak salah mereka melawat tetapi sikap membuat bising, mengotorkan
tempat awam dan datang dengan kumpulan-kumpulan besar menakutkan kami,"
katanya.
Seorang pengunjung tempatan, M Karupiah, 40, yang pergi ke Pasar Seni
untuk membeli barang juga berkata kebanyakan warga asing yang ditemuinya
tidak menjaga kebersihan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.
"Mereka tidak mempunyai kesedaran sivik akan kebersihan dengan membuang
sampah di merata-rata tempat walaupun disediakan tong sampah di kawasan
berkenaan," katanya.
Sementara itu, Hasimah Awang, 50, penjaja gerai di sekitar pusat beli
belah Sogo turut melahirkan rasa kesal terhadap tabiat warga asing yang
meludah dan membuang sampah di merata tempat.
"Terdapat pelbagai kemudahan tong sampah disediakan namun mereka tetap
membuang sampah di merata tempat, jadi tidak hairanlah keadaan di
sekitar ibu kota dilihat kotor daripada biasa pada hari kelepasan am,"
katanya.
Pemandu teksi, Razak Ahmad, 46, yang sering mengambil penumpang di
sekitar KLCC turut menyatakan kekecewaan beliau melihat gelagat warga
asing yang 'berkampung' bersama rakan di situ.
"Saya amat kecewa melihat mereka (warga asing) meludah sesuka hati di
merata tempat dan mengotorkan kawasan sekitar pusat beli-belah tumpuan
ramai ini... saya harap pihak berkuasa dan Dewan Bandaraya (Kuala
Lumpur) dapat mengambil tindakan wajar," katanya.
Orang ramai berharap DBKL mengenakan tindakan tegas antaranya mendenda
segera tindakan warga asing yang melanggar peraturan dan undang-undang
setempat.Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan