Isnin, 23 Februari 2015

Bahagian 1: PAS salah pilih musuh atau silap cari kawan?

 Ditulis Oleh Zainal Salleh

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Adalah agak pelik memikirkan betapa setelah lebih lima puluh tahun wujud dalam persada politik Malaysia, PAS masih belum mampu mengenalpasti  siapa sebenarnya penghalang perjuangannya dan boleh dianggap musuh.
 
Persoalan ini dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bahawa fokus pimpinan ulama PAS kini agak menyimpang daripada hakikat apabila menganggap PasMa sebagai seteru politik.
 
"Dia (Ulama) silap musuhlah nak berperang. Mereka sepatutnya perang dengan Umno-BN. Dia patut lancar perang dengan musuh politik sebagai parti politik dia tak perlu lancar perang dengan NGO. Silap musuh itu," katanya.
 
Beliau mempertikaikan tekad Multaqa Ulamak SeMalaysia kelmarin yang mengisytiharkan “perang terhadap PasMa” yang dianggap sebagai NGO yang cuba memecahbelahkan PAS dan mencabar kepimpinan ulama.
 
Phahrolrazi menegaskan bahawa tidak mungkin PasMa boleh memudaratkan PAS kerana ia hanya sebuah NGO dan bukan parti politik yang mampu bersaing dengan PAS.
 
Beliau berkata, oleh kerana PAS sendiri telah mengeluarkan larangan kepada ahli pimpinannya supaya tidak menyertai PasMa, NGO pimpinannya itu kini akur dan tidak lagi menjemput pimpinan PAS menghadiri programnya. 
 
"Saya lihat sejak daripada awal lagi sudah ada satu stigma. Penubuhan PasMa ini dikaitkan dengan pertentangan golongan dalam PAS. Sebenarnya kita bebas daripada mana-mana golongan. 
 
“Parti ini (PAS) memang ada golongan yang bertentangan dengan satu sama lain. 
 
"Sebenarnya kita di luar dan kini terseret dengan isu dalaman PAS seperti isu pemilihan dan sebagainya walaupun kita jelas (PasMa) tidak ada mekanisme untuk terlibat dalam pemilihan parti (PAS)," tambahnya.
 
Phahrolrazi musykil bagaimana PasMa dikatakan pernah “menyerang dan melanggar dasar PAS”. Malah, katanya,  PasMa dituduh mengeluarkan kata-kata menghina presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Kenyataan bagaimana yang kata kami (PasMa) menghina (presiden)? Sebab dia orang pun tak spesifik. Apakah kenyataan (PasMa) yang menghina presiden PAS itu? Kenyataan yang macam mana yang agak menghina (presiden) setakat ini?,” soalnya.
 
Pada Multaqa berkenaan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, PasMa terang-terangan masih aktif sedangkan Majlis Syura Ulama sudah mengarahkan ahli PAS jangan terlibat dengan aktiviti PasMa.
 
Perkara ini dibahaskan oleh wakil Kedah, Fauzi Hussain yang mendakwa wujudnya pihak yang cuba menghasut ahli akar umbi PAS ingkar terhadap kepimpinan Ulama.
 
Beliau mempersoalkan kewajaran penubuhan PasMa di Kelantan walaupun presidennya (PasMa) dari Kedah. Beliau menganggap aktiviti PasMa seperti bertujuan “melindungi pihak tertentu”.
 
"Kita tahu siapa di belakang dia (PasMa). Jawatankuasa PAS Pusat sudah buat pendirian. Namun, masih ada suara  sumbang yang bukan sahaja mempertikaikan Majlis Syura Ulama, namun mempertikaikan tindak tanduk presiden. Itu satu  tindakan biadap," katanya.
 
Justeru itu, beliau berkata, tindakan harus diambil dengan segera ke atas mereka yang cuba menggoyah kekuatan PAS.
 
"Kita mesti ada pendirian... Ibarat antara suami isteri, kalau isteri buat hal, jika suami tidak menceraikannya, maka digelar dayus," katanya.
 
Di akhir persidangan, multaqa itu sebulat suara meluluskan usul menggesa Majlis ‎Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan displin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS  yang terlibat dengan PasMa.
 
Usul berkenaan juga menetapkan sebarang pelanggaran terhadap Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS.
 
Sehubungan itu, wakil Dewan Ulama Perak, Sidek Noor menyifatkan timbalan presiden, naib presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tidak layak memegang jawatan dalam PAS kerana tindakan mereka membelakangi Hadi.
 
"Mereka tidak layak memegang jawatan timbalan, naib dan AJK PAS Pusat sekiranya tidak membantu presiden; lebih baik lepaskan jawatan," katanya.
 
Beliau merujuk tindakan seorang AJK PAS Pusat Perak yang dikatakan cuba “meracun” pemikiran ahli PAS untuk tidak menerima pelaksanaan hukum hudud.
 
"Di kala Kelantan berhempas pulas ingin melaksanakan hudud, tapi ada pula AJK PAS Pusat dari Perak ini turut ke kampung, cawangan, kata belum tiba masanya laksanakan hudud.
 
"Kamu pertikaikan undang-undang Islam ini, undang-undang dari Tuhan. Kalau kamu tidak yakin, apa lagi, lebih baik keluar," katanya tanpa menamakan Ahli jawatankuasa PAS Perak berkenaan. 
 
Bagaimanapun Sidek memberi contoh pemimpin PAS yang ingkar arahan PAS Pusat ketika krisis Menteri Besar Selangor berlaku tahun lalu.
 
"Ada dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ingkar dengan keputusan PAS dan pendirian presiden, dengan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar," katanya.
 
Sidek merujuk kepada Hasnul Baharuddin (Adun Morib) dan Saari Sungib (Adun Hulu Kelang) yang menandatangani perakuan bersumpah menyokong pencalonan Wan Azizah.
 
Pada masa sama, beliau juga membidas kepimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat banyak menyerang kepimpinan Hadi. Malangnya, kata beliau sikap ini disokong oleh segelongan pemimpin PAS sendiri.
 
"Kalau (veteran DAP) Lim Kit Siang (yang mengatakan sesuatu), mereka tidak cakap (ia pendirian) peribadi. Namun, bila Hadi cakap, mereka kata itu kenyataan peribadi.
 
"Mereka kena sedar, kita pilih mereka untuk bantu Hadi. Tapi mereka tiba-tiba lawan presiden. Itu kurang ajar. Mereka tidak sedar mereka tidak layak," katanya.
 
Multaqa anjuran Dewan Ulama PAS ini adalah medan pertemuan ulama PAS mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimumkan tugasan ahli ilmu dalam parti Islam itu.
 
Persoalannya ialah, jika PasMa dianggap musuh oleh kepimpinan ulama PAS, tidakkah rumusan ulama itu berkemungkinan besar merapuhkan lagi hubungan ulama dan pemimpin-pemimpin progresif dalam parti itu?
 
Atau, sebenarnya ulama PAS hanya didorong oleh anasir tertentu dalam parti beertujuan meruncingkan lagi permusuhan dalaman PAS? Adakah berasas pendedahan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim bahawa kebanyakan mereka adalah Anwarinas?

Tiada ulasan: