Khamis, 26 Februari 2015

BN tidak bertanding di Chempaka, tumpu perpaduan ummah

 
Tidak boleh halang jika ada calon bebas yang berhasrat untuk bertanding.


bncempaka


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menururt Perdana Menteri, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan tersebut berdasarkan beberapa pertimbangan dan berikutan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.

Beliau menegaskan, tumpuan sekarang perlu diberikan kepada program pemulihan mangsa banjir dan kerja-kerja kebajikan di Kelantan serta perpaduan ummah.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, “Kita tengok masih banyak lagi mangsa banjir yang belum menerima bantuan.

“Selain itu, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha-usaha membawa kepada perpaduan ummah walaupun ada perbezaan pendapat dan politik, perpaduan ummah perlu diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

“Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk bertanding tetapi UMNO tidak akan meletakkan calon,” jelasnya ketika ditanya tentang kemungkinan calon Bebas bertanding dalam PRK DUN Chempaka.

Berhubung persiapan menghadapi kemungkinan PRK di Parlimen Permatang Pauh, Najib berkata, BN akan membuat keputusan setelah tafsiran Perlembagaan Persekutuan terhadap petisyen yang dikemukakan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dinasihatkan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu dan SPR akan tentukan tarikh.

“Bila SPR tentukan tarikh, MT UMNO akan buat keputusan dan umumkan bila sampai masanya kelak,” katanya

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu. Perdana Menteri menambah, keputusan untuk tidak meletakkan calon itu bukan perkara baharu kerana BN juga tidak bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor tahun lalu.

Tiada ulasan: