Roketkini.com
SERDANG: Kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang mengatakan pengajian tinggi Malaysia bertaraf dunia kerana ramai pelajar asing memilih Malaysia untuk menyambung pelajaran menimbulkan persoalan lebih besar tentang mutu universiti awam (IPTA) di Malaysia.
Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya hari ini mengatakan logik Idris itu dangkal dan membingungkan kerana peratusan menunjukkan pelajar asing di Malaysia lebih cenderung memilih universiti swasta (IPTS) dari IPTA untuk menyambung pendidikan mereka.
“Angka dan peratusan menunjukkan pelajar asing lebih cenderung pilih IPTS untuk menyambung pendidikan mereka dari memilih IPTA.
“Apakah ini bermakna kementerian kita lalai buat kerja dalam meningkatkan kualiti IPTA di negara ini kerana gagal tarik minat pelajar asing berbanding sektor swasta?” ujarnya.
Kian Ming mengatakan berdasarkan Perangkaan Pendidikan Negara: Sektor Pengajian Tinggi 2013 ada lebih 52,598 orang pelajar asing yang belajar di IPTS berbanding 28,826 orang yang belajar di IPTA.
Jumlah keseluruhan pelajar IPTA termasuk pelajar asing pula sebanyak 560,359 menjadikan peratusan pelajar asing di IPTA sebanyak 5.1 peratus manakala di IPTS sebanyak 484,963 menjadikan peratusan pelajar asing sebanyak 10.8 peratus.
Melihat jurang ketara peratusan pelajar asing di IPTA dan IPTS itu, Kian Ming mempesoalkan logik Menteri Pendidikan yang menganggap peratusan pelajar asing tinggi sebagai bukti kecemerlangan pendidikan.
“Apakah mutu Universiti Malaya lebih rendah dari Lim Kok Wing (yang memiliki peratusan pelajar asing yang tinggi)?
“Inilah kesimpulan yang kita dapat jika mengikut logik dangkal Idris Jusoh,” ujar Kian Ming.
Bagaimanapun, Kian Ming menjelaskan persoalan yang dibangkitkan olehnya itu untuk menunjukkan bahawa jumlah dan peratusan pelajar asing di Malaysia tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras mutu pendidikan.
“Apa yang penting adalah mutu pelajar yang masuk ke institut pengajian tinggi kita, tidak kiralah mereka itu pelajar asing atau tidak.
“Dan apa yang penting bagi pelajar-pelajar ini ialah pengalaman belajar yang mereka akan dapat setelah masuk ke IPT,” jelas Kian Ming.
“Sangat menyedihkan bila kita ada Menteri Pendidikan hanya melepaskan tugas kepada pentadbiran universiti dengan bawa masuk pelajar asing tanpa melihat kualiti setiap mereka supaya ranking IPT mencanak naik secara palsu,” tambahnya lagi. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan