Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
 
SHAH ALAM - Pas masih boleh berkempen seperti biasa dalam PRK Dun Chempaka walaupun tarikh undian hampir dengan sidang Dun Kelantan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ini kerana sidang Dun Kelantan hanya akan berlangsung selama tiga hari iaitu dari 16 hingga 18 Mac depan, manakala PRK ditetapkan pada 22 Mac.

“Bukannya tarikh mengundi itu ketika sidang Dun berlangsung,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dilaporkan berkata, kerajaan negeri itu terkilan kerana SPR tidak mendapatkan pandangan dengan mereka sebelum mengumumkan tarikh pengundian PRK Dun Chempaka.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, dalam tempoh tiga hari sidang Dun itu, Pas masih boleh meneruskan kempen pada sebelah malam.

“Sidang Dun siang hari sahaja, jadi sebelah malamnya boleh teruskan kempen.

“Saya yakin tidak akan memberikan kesan kepada kempen mereka. Apa yang penting bukan bertindih hari mengundi bagi orang awam,” ujarnya.