Jumaat, 27 Februari 2015

'Solidariti bukan tutup tekanan dalaman Umno'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Himpunan solidariti Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama barisan pemimpin Umno bahagian tiada kaitan dengan tekanan dalaman parti termasuk isu berkaitan keluarga pemimpin BN itu.

Sebaliknya ia diadakan untuk menunjukkan sokongan kepada perdana menteri bagi berdepan tekanan antarabangsa dan pembangkang, kata seorang pemimpin Umno.

Sambil menegaskan "tiada perpecahan dalam Umno", ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pertemuan 8 Mac ini bertujuan bertukar-tukar fikiran demi keutuhan parti dan pentadbiran negara.

"Tidak (ada kena mengena dengan perkara itu). Sebenarnya kami mencadangkan supaya pertemuan itu diadakan setahun dua kali. Kami mahu bertukar-tukar fikiran, idea dan maklumat untuk mempertahankan parti.

"Sekarang (banyak) polemik dan tohmahan (dibangkitkan) melalui media asing. Dalam Umno, tidak ada perpecahan. Yang menimbulkan isu adalah pembangkang. Mereka ini tidak ada kerja lain," katanya.

Syed Ali menjawab soalan Malaysiakini sama ada perhimpunan solidariti ketua-ketua bahagian Umno itu berkaitan dengan masalah-masalah yang dihadapi Najib, termasuk hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ura-ura pergeseran dalam keluarga Najib.

Ketika dihubungi pagi ini, Syed Ali berkata apabila pembangkang kehabisan modal untuk menyerang perdana menteri, mereka mengalihkan serangan itu kepada kepada isterinya Rosmah Mansor.

"Beliau mahu buat apa, beliau punya pasallah," katanya dengan nada tinggi.

Rosmah menarik perhatian sekali lagi minggu ini, termasuk media antarabangsa, susulan kenyataannya tentang harga tinggi dandanan rambutnya sehingga mencecah RM1,200.

Namanya juga dikaitkan dalam laporan akhbar berpengaruh The New York Times awal bulan ini berkaitan pembelian hartanah mewah di Amerika Syarikat yang melibatkan seorang ahli perniagaan yang dikatakan dengan keluarga Najib.

The Star hari ini melaporkan cadangan untuk mengadakan pertemuan itu dicetuskan oleh sekumpulan ketua Umno bahagian dan setakat ini seramai 170 daripada 191 pemimpin bahagian Umno mengesahkan kehadiran mereka.

Syed Ali juga berkata: "(Selepas ini) saya yakin (sokongan akan bertambah) untuk kepentingan parti, negara dan kami tidak ada kepentingan peribadi."

Akhbar itu turut memetik beberapa ketua Umno bahagian yang menyokong himpunan tersebut, termasuk ketua Umno Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang mahu mendengar Najib menjelaskan secara terus pelbagai isu termasuk berkaitan 1MDB dan ekonomi negara.
 

Tiada ulasan: