Rabu, 25 Februari 2015

Pantau jika harga dandan rambut isteri menteri naik?


























Oleh NURUL IZZAH ANWAR


SAYA merujuk kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang dilaporkan MalaysiaKini, yang menyatakan: “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengambil perhatian hal yang dibangkitkan itu”.

Datuk Ahmad Maslan merujuk kebimbangan Datin Seri Rosmah Mansor, berkenaan ketiadaan pemantauan khusus buat perkhidmatan-perkhidmatan langsung ke rumah ketika ini.

Datin Seri Rosmah Mansor mengeluarkan kebimbangan ini selepas dikenakan bayaran RM1,200 untuk perkhidmatan dandanan rambut yang diterima beliau di rumah.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu Majlis Penerangan GST yang dianjurkan oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti). Ternyata, keutamaan Datuk Ahmad Maslan dan Kerajaan yang pincang sebegini amat mengecewakan.

Sebelumnya, kerajaan sedar bahawa pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan farmasi dan perubatan telah mengeluarkan pelbagai kenyataan berkenaan kebimbangan peningkatan harga ubat-ubatan selepas pengenalan GST. Di samping itu pihak-pihak penerbit juga telah melahirkan kebimbangan mengenai harga buku-buku.

Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebenarnya hanya 320 jenis ubat sahaja yang dikadarkan sifar di bawah GST.

Ini disebabkan walaupun dalam Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML) terdapat 4200 jenis ubat, namun sebenarnya ubatan yang sama yang dihasilkan oleh syarikat berlainan dikira beberapa kali. Sebagai contoh, paracetamol yang dihasilkan oleh pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan yang berlainan oleh Kerajaan.

Malah, pesakit Malaysia yang menggunakan penjagaan kesihatan swasta yang memerlukan bantuan perubatan seperti tongkat, kerusi roda, kaki palsu dan alat bantuan pendengaran pastinya perlu membayar caj tambahan apabila GST dikuatkuasakan.

Terdapat juga ubat-ubat kawalan yang digunakan untuk merawat pesakit kanser, penyakit buah pinggang dan pesakit HIV yang dikenakan cukai GST dan akan meningkatkan kos ubat-ubatan. Perlu diingatkan bahawa beberapa harga ubat telah meningkat antara 20% hingga 50% pada tahun 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun ini!

Berkenaan buku pula, hanya buku teks, buku latihan, buku ilustrasi kanak-kanak  kamus dan buku teks agama yang tidak dikenakan GST. Bagaimana pula dengan beribu-ribu buku yang dalam genre berbeza seperti fiksyen, bukan fiksyen yang merangkumi pelbagai dimensi pendidikan sejarah, sains, politik, ekonomi.

Adakah buku-buku ini tidak disenaraikan sebagai sumber ilmu? Empat puluh tujuh negara daripada lima puluh satu negara telah menyenaraikan buku-buku sebagai barangan berkadar sifar, ataupun memberi kadar istimewa untuk buku-buku, mengapa tidak Malaysia?

Sikap Datuk Ahmad Maslan yang lebih mementingkan aduan daripada isteri-isteri menteri melihatkan betapa Kerajaan dan Barisan Nasional tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai kepentingan paling utama.

Persoalannya, adakah hanya sekiranya harga dandanan rambut isteri menteri naik, barulah tindakan akan diambil untuk memantau? Bagaimana pula nasib orang-orang kelas pertengahan dan rendah akan terus dihimpit tekanan kos sara hidup yang tinggi?

Di manakah hilangnya slogan Rakyat Didahulukan?

Saya akan terus menentang sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang mengabaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat melalui pelaksanaan GST April ini. Lebih memburukkan keadaan adalah apabila buku-buku dan ubat-ubatan juga tidak disenaraikan sebagai barangan berkadar sifar dibawah rejim GST.

(*)  Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tiada ulasan: