SINGAPURA: Tan Sri Robert Kuok dan beberapa hartawan perniagaan
tempatan mengekalkan kedudukan masing-masing dalam Senarai Individu
Terkaya Malaysia anjuran Forbes, biarpun kekayaan mereka terbukti
terjejas akibat penurunan harga minyak dan ringgit.
Kuok, 91, yang menjalankan perniagaan termasuk minyak sawit, gula,
hartanah dan perhotelan, terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun
ke-10 berturut-turut.
Kekayaannya bagaimanapun, susut AS$200 juta kepada AS$11.3 bilion.
Menurut Forbes, Kuok Group menguasai beberapa syarikat yang tersenarai di Hong Kong, Malaysia serta Singapura.
Kedudukan seterusnya disandang T. Ananda Krishnan dengan kekayaan
bernilai AS$9.7 bilion; Tan Sri Quek Leng Chan (AS$5.6 bilion); Tan Sri
Lim Kok Thay (AS$5.5 bilion); Tan Sri Teh Hong Piow (AS$5.4 bilion); Tan
Sri Lee Shin Cheng (AS$4.6 bilion); Tan Sri Yeoh Tiong Lay (AS$3
bilion); Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (AS$2.9 bilion); Goh Peng Ooi
(AS$1.55 bilion) dan Tan Sri Lee Oi Hian serta Datuk Lee Hau Hian
AS$1.45 bilion.
Nilai kekayaan Ananda yang merupakan taikun telekomunikasi, turut susut
sebanyak AS$1.6 bilion kepada AS$9.7 bilion, sebahagiannya akibat
kejatuhan saham Bumi Armada yang juga syarikat perkhidmatan telaga
minyak luar pesisir.
Aset telekomunikasi mewakili separuh kekayaannya menerusi pemilikannya dalam Maxis, kata Forbes.
Tan Sri Quek Leng Chan berganjak ke tempat ketiga daripada keempat
sebelum ini, biarpun kekayaannya susut sebanyak AS$800 juta bagi tempoh
setahun lepas kepada AS$5.6 bilion.
Beliau yang memiliki Hong Leong Co, mempunyai kepentingan dalam
pelbagai sektor daripada makanan kepada kewangan selain pelaburan dalam
sektor minyak dan gas (O&G) serta pegangan dalam firma Indonesia
Samudra Energy, syarikat Malaysia Scomi Energy Services, Alam Maritim
Resources dan firma Singapura, Ezion yang menjadi pembekal sokongan
untuk perkapalan dan telaga minyak.
Senarai terkini Forbes itu turut dibarisi empat muka baharu iaitu
taikun hartanah Khoo Cheng Hai di tempat ke-45 dengan nilai kekayaannya
AS$285 juta selepas sahamnya dalam KSL Holdings berlipat ganda; pakar
pembungkusan Lim Teck Meng daripada Scientex (tempat ke-46 dengan
kekayaan AS$280 juta); hartawan fabrikasi minyak-perkapalan Coastal
Contracts Ng Chin Heng (tempat ke-47, AS$275 juta) hartawan hartanah dan
pengasas bersama United Overseas Australia, Kong Chong Soon (tempat
ke-50, AS$240 juta).
Taikun kasino Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group menduduki
tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$5.5 bilion, merosot daripada
AS$6.5 bilion tahun lepas berikutan penyederhanaan ekonomi China yang
menjejaskan sektor perjudian dan hiburan rantau ini.
Bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki beberapa hartawan yang tersenarai,
terjejas teruk terutama mereka yang memiliki pelaburan atau berkaitan
sektor minyak.
Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga pelabur dalam firma perkhidmatan
minyak dan gas iaitu SapuraKencana Petroleum, turut menyaksikan
kekayaannya susut kepada AS$700 juta berbanding AS$1.2 bilion, tahun
lepas.
Namun, tidak semua hartawan Malaysia berdepan cabaran sedemikian.
Tan Sri Lau Cho Kun yang juga taikun kelahiran Sabah, mencecah status
hartawan bertaraf 'bilionaire' dan muncul individu ke-15 terkaya di
Malaysia menerusi hasil perladangan dan perdagangan dengan nilai
kekayaannya AS$1.08 bilion.
Beliau adalah pemegang saham terbesar dalam Hap Seng Consolidated Bhd.
Kekayaan taikun perisian, Goh Peng Ooi meningkat kira-kira AS$450 juta
kepada AS$1.55 bilion dan tersenarai ahli perniagaan kesembilan terkaya
di Malaysia.
Firma miliknya, Silverlake Axis kini membekalkan perisian kewangan kepada 40 peratus bank di serata Asia Tenggara.
Antara syarat untuk tersenarai tahun ini adalah pemilikan kekayaan minimum AS$240 juta iaitu meningkat daripada AS$220 juta.
Senarai penuh boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terbaharu Forbes Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan