Khamis, 26 Februari 2015

Siapa Lebih Layak Teraju PAS, Profesyenal Atau Ulamak?

KELAB GREENBOC





Kepemimpinan ulama dan salah faham mengenainya Oleh Che Samsudin Othman

Kemelut menteri besar Selangor selama beberapa bulan yang berakhir dengan pelantikan Azmin Ali pada 23 September tahun lepas dikatakan menyebabkan krisis teruk dalam kepemimpinan PAS hingga mengakibatkan parti itu kini berpecah kepada lebih daripada dua kumpulan, dan sudah ada pihak yang menuntut presidennya berundur.

Tentulah bukan kemelut atau krisis menteri besar Selangor (MBS) itu yang menjadi faktor berpecahnya parti PAS, ‘kan!

Kemelut itu hanya menjadi sebab terpecahnya bisul yang sudah lama menanah dan hanya menunggu masa untuk pecah sahaja. Ia suatu kebetulan saja. Faktor sebenarnya bukan itu.

Lalu apakah faktor sebenarnya? Untuk mengetahui faktor sebenarnya tidaklah begitu susah. Lihatlah kepada apa yang heboh diperkatakan di kalangan dalaman PAS sejak sebelum kemelut MBS itu dan juga selepasnya. Perkara yang heboh diperkatakan itu ialah mengenai hal kepemimpinan ulama dan bukan ulama di dalam PAS. Itulah yang heboh diperkatakan sejak sekian lama (tiga-empat tahun atau lebih) sebelum tercetusnya kemelut MBS itu dan masih diperkatakan hingga ke hari ini.

Namun faktor sebenarnya pun bukanlah kepemimpinan ulama itu sendiri. Kepemimpinan ulama di dalam PAS yang bermula dengan era kepemimpinan Yusuf Rawa itu tidak pernah menjadi masalah.

Yang menimbulkan masalahnya ialah apabila sekumpulan ulama di dalam kepimpinan PAS mulai berasa terancam kedudukan mereka disebabkan kehadiran tokoh-tokoh bukan ulama (lebih popular dengan panggilan "profesional"), yang mulai mendapat kepercayaan para ahli untuk memimpin parti itu; dan mereka pun melancarkan kempen untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Di situlah bermulanya bibit-bibit perpecahan yang sekarang sedang membarah di dalam organisasi parti itu. Ia mencapai puncaknya apabila PAS enggan menyatakan persetujuannya dengan keputusan PKR dan DAP melantik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi MB Selangor, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keengganan PAS atau lebih tepatnya keengganan Presiden PAS, Dauk Seri Abdul Hadi Awang itu kurang disenangi sebahagian pimpinan PAS khasnya mereka yang bukan golongan ulama. Dan pernyataan kurang bersetuju golongan ini telah mendapat reaksi yang agak keras pula daripada golongan ulama yang semakin menampakkan sokongan mereka kepada keputusan Presiden itu.

Ada pelbagai analisa mengenai sebab-sebab mengapa Hadi tidak bersetuju dengan pelantikan Dr Wan Azizah. Antaranya timbullah cerita yang hubungan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang sudah lama tidak mesra dan tidak sehaluan. (Sebab apa? Saya fikir lebih baik kita tak usah sentuh hal itu).

Maka saya ingin kembali kepada hal tadi – golongan ulama dan bukan ulama di dalam PAS.

Alkisahnya kemasukan golongan bukan ulama khususnya profesional ke dalam PAS berlaku secara agak besar di zaman Reformasi, iaitu zaman kebangkitan rakyat berikutan Anwar dizalimi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (1998), dan zaman yang menyaksikan kegemilangan pimpinan Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden PAS.

Ustaz Fadzil waktu itu mengalu-alukan kemasukan para profesional dan intelektual menjadi ahli PAS. Bahkan sikapnya yang terbuka dan sanggup mengambil risiko membawa PAS berjuang menuntut keadilan buat Anwar itu adalah faktor utama mengapa ramai golongan profesional dan intelektual masuk PAS. Dan itulah juga faktornya yang mengubah pandangan negatif masyarakat bukan Islam terhadap PAS menjadi positif.

PAS sejak peristiwa Reformasi di zaman Ustaz Fadzil itu sudah mendapat wajahnya yang baru, tanpa mengubah dasar kepimpinan ulamanya. Saya sempat beberapa kali bersama dengan Ustaz Fadzil dalam pentas ceramah (saya baca puisi), majlis makan malam dan sesi wawancara untuk majalah Detik.

Masih ingat lagi dalam sesi wawancara itu saya bertanya apakah mungkin pada suatu hari nanti PAS akan dipimpin oleh presiden yang bukan ulama? Tanpa teragak-agak beliau menjawab: Ya, mungkin.

Lalu bagaimana dengan dasar kepimpinan ulama? Tanya saya. Dan jawapan Ustaz Fadzil kepada soalan inilah yang kembali bangkit dalam memori saya sebagai reaksi kepada kempen golongan ulama PAS hari ini yang cuba mengawal seboleh-bolehnya agar semua pimpinan PAS peringkat atasan terdiri daripada golongan ulama.

Apa jawapan Ustaz Fadzil itu? Jawabnya: Dasar kepimpinan ulama di dalam PAS bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat kepercayaan ahli-ahli.

Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.


Lebih kurang begitulah penjelasannya. Kita boleh dapatkan penjelasan tersebut secara verbatim kalau kita merujuk kepada majalah Detik yang berkenaan. Saya tidak ingat lagi tarikhnya dan saya pun tidak simpan naskah tersebut. Tetapi saya pasti dan positif, begitulah yang dimaksudkan.

Hal ini telah pun saya nyatakan kepada beberapa orang kawan apabila ditimbulkan perkara krisis atau konflik antara ulama dan profesional di dalam PAS sejak pemergian Ustaz Fadzil ke alam baqa, dan jawatan presiden itu disandang oleh Hadi.

Soalnya, kenapakah golongan ulama di dalam PAS selepas era Ustaz Fadzil menjadi tidak mesra dengan golongan yang bukan ulama sebagai pemimpin?

Kalau Ustaz Fadzil pernah menegaskan demikian mengenai dasar kepimpinan ulama itu, maka siapakah pula yang membuat tafsiran berbeza daripada itu selepas ketiadaan beliau? Dan kenapakah pula terjadi demikian?

Saya kira masalahnya ialah masalah keyakinan diri. Ustaz Fadzil begitu sekali percaya dan yakin kepada struktur dan sistem kepimpinan dalam organisasi PAS yang dipimpinnya, menyebabkan dia tidak sedikit pun bimbang kepada masa depan kepimpinan ulama di dalam PAS.

Dan tidak kurang pentingnya ialah keyakinan diri yang ada pada pada ulama dalam kepimpinan PAS waktu itu, khasnya mereka yang menduduki Majlis Syura Ulama. Keyakinan diri itu menyebabkan tidak timbul kebimbangan atau rasa terancam oleh kehadiran ramai golongan profesional.

Apabila golongan ulama melancarkan kempen (ala-ala Umno itu) untuk mengawal dan memastikan agar calon-calon dari kalangan mereka yang dilantik ke jawatan atasan dalam pimpinan, itu jelas menunjukkan bukan sahaja mereka kurang yakin dengan kelayakan mereka sendiri tetapi juga menunjukkan bahawa mereka mendahulukan kepentingkan politik lebih daripada kepentingan agama.

Maka di situlah bermulanya kecelaruan di dalam kepemimpinan PAS. Dan apabila itu berlaku di kalangan ahli-ahli Majlis Syura Ulama sendiri maka bayangkanlah. Ia umpama virus yang merosakkan. Tidak hairanlah hari ini imej ulama pada keseluruhannya begitu menyedihkan sekali. Masyarakat seperti sudah hilang kepercayaan kepada ulama.

Sesungguhnya ini suatu tragedi yang perlu segera disembuhkan. Kembalilah segera kepada kepentingan agama, dan kurangkanlah berpolitik di dalam parti. – TMI (5 Disember, 2014)

ULASAN GB

Sebenarnya gagasan KEPIMPINAN MELALUI ULAMA adalah satu doktrin SYIAH yang kini tiba-tiba menjadi semacam satu dasar untuk memilih pemimpin di dalam PAS sekalipun tidak ada hitam putih di dalam Perlembagaan PAS yang menyatakan bahawa pemimpin termasuk jawatan Presiden perlu dipilih dari kalangan ulamak.

Sekalipun ulamak-ulamak PAS rata-ratanya penentang Syiah tetapi mereka semacam menerima konsep "IMAMAH" di dalam Syiah yang meletakkan ulamak sebagai golongan maksum (terjaga) dari berbuat salah dan dosa, baik yang kecil maupun yang besar, baik sengaja maupun tidak sengaja. Mereka juga dikatakan terjaga dari kelengahan, kekeliruan dan lupa.

Malah di dalam Syiah, para ulamak dan imam mereka lebih utama dari ulul azmi dari kalangan nabi. Malah di satu aspek yang lebih ekstrem, mereka yang ingkar dengan ulama sama dengan mengingkari kenabian, artinya telah kafir dan sesat serta masuk dalam neraka selama-lamanya. Dengan alasan seperti ini mereka mengkafirkan seluruh sahabat kecuali tiga orang yaitu Miqdad, Salman dan Abu Dzar, bahkan mereka mengkafirkan seluruh kaum muslimin bukan-syiah, malah menghalalkan darah mereka.

Apakah ini yang hendak diterapkan di dalam PAS oleh para Geng Ustaz/Ulamak?

Bagusnya kewujudan kontroversi gagasan "kepimpinan melalui ulamak" yang didokong oleh PAS kini ialah kita dapat menyemak semula gagasan tersebut berhubungkait dengan aqidah ahli sunnah wal-jamaah yang kita ahli-ahli PAS pegang selama ini. Penilaian terhadap gagasan tersebut adalah perlu agar kita tidak terjebak dengan aqidah Syiah yang sesat dan menyesatkan itu.

Kedua, benarkah ulamak itu palng layak diangkat menjadi khalifah atau pemimpin ummah?

GB cuba mencari-cari jawapan di dalam Al-Quran tetapi tidak menemui dalil itu. Yang ada ialah yang di sebaliknya.

Kebanyakan orang awam yang menghormati ulamak kerana ilmu ugama yang ada pada dirinya. Dan dikatakannya ulamak itu sentiasa beribadah kepada Allah juteru perlu diankta sebagai pemimpin.

Jikalah ulamak itu merupakan golongan yang cukup bagus untuk diangkat sebagai pemimpin, maka sudah tentulah Allah s.w.t. telah melantik malaikat sebagai khalifah! Kerana tahap waraq malaikat lebih hebat dari ulamak. Rukuk dan sujud malaikat lebih lama dan lebih tawadhu daripada ulamak. Tetapi Allah tidak memilih mereka itu sebagai khalifah. Yang diangkat sebagai khalifah ialah Adam a.s.

Satu ketika pernah malaikat membantah Allah mengapa Adam yang dipilih sebagai khalifah di atas mukabumi sedangkan mereka merasakan merekalah yang paling layak kerana hampirnya mereka dengan Allah.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah (pengganti, pemimpin atau penguasa) dibumi' Mereka berkata; Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memuji-Mu dan mensucikan nama-Mu? Dia berfirman, 'Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui'." (Surah al-Baqarah: ayat 30)

Adam diajarkan dengan ilmu terus dariNya,

"Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar." Mereka menjawab:'Maha Suci Engkau. Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada Kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: 'Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.' Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama benda-benda itu, Allah berfirman: 'Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?'"(al-Baqarah: 31-33)

Para malaikat menyedari bahawa Nabi Adam adalah makhluk yang mengetahui sesuatu yang tidak mereka ketahui. Ini adalah hal yang sangat mulia.

Begitulah dengan golongan profesyenal yang beriman kepada Tuhannya. Merekalah yang lebih layak sebagai khalifah (pemimpin/penguasa) kerana pada golongan profesyenal ini terdapat ilmu-ilmu yang berguna untuk memakmurkan bumi, pengubahannya dan penguasaannya, serta semua hal yang berkenaan mengharmoniskan penghidupan di muka bumi berbanding dengan malaikat yang tidak ada ilmu-ilmu sedemikian.

Sehinggalah akhirnya malaikat diarah sujud kepada Adam. Allah SWT berfirman:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: 'Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah.' Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; hendaklah kamu bersyukur dengan bersujud kepadanya. ' Lalu seluruh malikat itu bersujud semuanya, kecuali Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang engkar." (Surah Sad: 71-74)

Oleh itu mereka yang tidak mahu menerima golongan profesyenal sebagai pemimpin mereka malah mengejek-ejek mereka, itulah sebenarnya yang mengikut perangai iblis yang hanya memandang tinggi amal ibadat sendiri, sombong dan takbur yang kelak hanya akan merugikan diri mereka sendiri.

Tiada ulasan: