MALAYSIAKINI
Satu laporan telah muncul yang mendakwa bagaimana Jude Pereira, pegawai penyiasat dalam kes Liwat II, telah diminta membuat kenyataan umum mendakwa ada konspirasi terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka
yang disebutkan didakwa terlibat ialah Pengerusi MyWatch, R Sri
Sanjeevan dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang pernah
menjadi penaung badan pemantau jenayah itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Musa
mengesahkan beliau menemui Pereira sebelum pilihan raya umum lepas pada
tahun 2013 di rumah bekas ketua polis itu di Petaling Jaya.
Katanya,
beliau kemudian dimaklumkan bahawa timbalan penguasa (DSP) itu telah
diminta untuk membuat satu kenyataan akhbar yang memihak kepada Anwar.
Bagaimanapun, beliau menafikan bertanya kepada
DSP itu sama ada terdapat konspirasi dalam kes ketua pembangkang itu
seperti yang dikatakan dalam artikel yang disiarkan oleh blog Malaysia Today, yang memetik Pereira.
"Kita
bercakap tentang masa dulu-dulu dan mengenai bagaimana Pereira mahu
menjadi seorang peguam. Saya juga memberitahunya yang Sanjeevan mahu
bertemu dengannya,” katanya.
Pereira, katanya, kemudian
memberitahunya bahawa dia bertemu dengan Sanjeevan yang memintanya
mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai adanya konspirasi terhadap Anwar.
Musa
berkata apabila Pereira memberitahunya bahawa dia enggan berbuat
demikian, beliau telah memuji pegawai polis atas pendiriannya itu.
Bekas IGP itu juga mendedahkan bahawa dia berpisah dengan Sanjeevan kerana Sanjeevan terlalu terlibat dalam politik.
Katanya, beliau telah meminta Sanjeevan supaya berhenti dari politik dan memberi tumpuan kepada NGO itu.
Apabila Sanjeevan tidak berbuat demikian, kata Musa, beliau meninggalkan MyWatch.
Menjawab
satu soalan, Musa mengesahkan bahawa Sanjeevan rapat dengan Anwar.
Ketika dihubungi kemudian, Sanjeevan enggan mengulas mengenai perkara
itu.
Selasa lalu, Anwar disabitkan atas tuduhan meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara lima
tahun.
Dalam artikel Malaysia Today
itu, disiarkan apa yang didakwa tulisan tangan Pereira mengenai
pertemuannya dengan Sanjeevan yang menyatakan dia akan "dijaga"
sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihan raya itu dan dia juga bercakap
dengan Anwar melalui telefon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan