MALAYSIAKINI
Sebanyak 17 rumah rosak dilanda ribut di di Taman Satria, Senawang hari ini.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seremban Emily Mirza
Kamsari berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.40 petang dan
kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.
"Tiada kecederaan dilaporkan, dan kita (JKM) masih jalankan bancian
kerosakan. Sehingga kini, 17 rumah mengalami kerosakan termasuk lima
yang terjejas teruk pada bahagian bumbung," katanya.
Seorang penduduk, Zairina Zailan, 33, berkata beliau sedangmenunaikan
solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat daripada bahagian atas
rumahnya.
"Saya terus berhenti solat apabila terdengar bunyi itu. Badan saya
menggiggil melihat angin kuat menarik bumbung rumah sehingga tercabut
satu per satu.
"Kemudian, anak-anak saya yang berumur lapan dan enam tahun menangis,
lalu kami sekeluarga segera keluar dari rumah," katanya ketika ditemui.
Zairina berkata kejadian seperti itu pernah berlaku dua tahun lepas namun, angin ribut kali lebih teruk berbanding sebelum ini.
Suaminya Rusidi Mansor, 40, berkata kos pembaikan bumbung bagi
kelima-lima rumah terjejas teruk itu dianggarkan RM3,633 dan dikongsi
bersama jiran yang terlibat.
"Kalau boleh, pembaikan bumbung itu siap hari ini juga sebab takut hujan nanti, keadaan lebih buruk," katanya.
Seorang lagi mangsa, Hatiyah Sulaiman, 69, berkata beliau baharu selesai
menunaikan solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat dan keadaan di
dalam rumahnya tiba-tiba menjadi terang.
"Rupa-rupanya atap rumah dah tercabut. Saya tak dapat nak gambarkan
perasaan saya pada masa itu. Saya jerit dan ajak suami keluar rumah ikut
pintu belakang," katanya.
Suaminya Osman Sulaiman, 67, cedera sedikit di bahagian dahi kerana terkena serpihan atap rumahnya dalam ribut itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan