TUAN IBRAHIM TUAN MAN
DENGAN
dugaan kegagalan, kita belajar erti kesabaran. Ada ulama mentakrifkan
sabar ialah menjauhkan diri daripada mengingkari, tenang ketika menelan
kepahitan bala serta menampakkan ketidakperluan kepada makhluk ketika
ditimpa kefakiran di dalam menempuh ranjau kehidupan. Malah Syeikh
Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat mentakrifkan sabar ialah
tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah Taala.
Kesabaran di atas musibah dan kegagalan yang menimpa ialah dengan
meyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan.
Allah Taala akan menguji iman hamba-Nya dengan pelbagai jenis musibah
dan dugaan. Dia juga menduga hamba-hamba-Nya yang beriman dengan
pelbagai cabaran agar Dia membezakan di antara orang yang jahat dengan
yang baik dan yang beriman dengan yang munafiq.
Firman Allah Taala bermaksud: Alif Lam Mim. Apakah patut manusia
menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah
beriman sedangkan mareka belum diuji. (Surah al-Ankabut: Ayat 1-2).
Musibah dan dugaan ini pasti akan datang sama ada terhadap harta
benda ataupun diri sendiri. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala
bermaksud: Demi sesungguhnya, kamu pasti akan diuji pada harta benda dan
diri kamu. (Surah ali-Imran: Ayat 186).
Firman Allah Taala lagi bermaksud: Demi sesungguhnya, Kami pasti akan
menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan
kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman.
Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila
mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami
adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu
ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan
mereka serta rahmatNya. (Surah al-Baqarah: Ayat 155-157)
Tidak syak lagi bahawa orang mukmin yang sejati akan menanggung
musibah ini dengan sabar dan penuh pasrah, bahkan dengan redha dan
gembira. Kerana dia pasti musibah ini tidak diturunkan oleh Allah Taala
kecuali untuk menghapuskan dosa-dosa serta menghilangkan kejahatan di
dalam dirinya.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tidak ditimpa seseorang muslim itu
daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan,
kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkra tersebut
Allah Taala menjadikannya sebagai kifarat terhadap
kesalahan-kesalahannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, musibah dan dugaan itu juga adalah untuk mengangkat
darjat orang-orang beriman kepada satu darjat dan kedudukan yang lebih
tinggi di sisi Allah Taala. Jika mereka menerimanya dengan penuh
kesabaran dan keredhaan maka Allah Taala akan mengangkat lagi darjat
mereka itu.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Apabila Allah telah mendahulukan
kedudukan seseorang hamba kepada satu kedudukan yang tidak mampu dicapai
dengan ilmunya maka Allah mengujinya pada tubuh badan, keluarga serta
harta bendanya, kemudia Allah menjadikannya sabar terhadap ujian yang
menimpa sehinggalah dia mencapai kedudukan yang telah disediakan oleh
Allah Taala. (Riwayat Abu Daud). - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan