Jamil Khir Baharom
ALOR SETAR - Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaan Arab Saudi
untuk menambah kuota jemaah haji bagi rakyat negara ini sebanyak 10,000
pada tahun ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata sejak projek pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan, kuota
jemaah haji Malaysia telah dikurangkan sebanyak 20 peratus daripada
kuota jemaah haji yang sebenar setiap tahun.
"Kerajaan akan terus merayu dengan kerajaan Arab Saudi untuk memberikan
kuota (jemaah haji) tambahan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, malam
tadi.
Kuota haji Malaysia tahun lepas ialah sebanyak 22,320 orang.
Katanya, kerajaan dan Tabung Haji (TH) mempunyai pelbagai saluran untuk
menyampaikan rayuan menambah kuota haji kepada kerajaan Arab Saudi
termasuk dalam mesyuarat haji yang bakal diadakan Mac depan serta
menerusi pasukan TH yang berada di Makkah dan Madinah sepanjang tahun.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 1.6 juta rakyat Malaysia yang telah
mendaftar dengan TH untuk menunaikan ibadah haji dan tempoh menunggu
adalah terlalu lama.
"Tempoh menunggu itu boleh mencecah 67 tahun," katanya menambah
kerajaan Indonesia juga merayu kepada Arab Saudi berikutan tempoh
menunggu jemaah haji negara itu juga lama.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan sistem Kad Tauliah Mengajar
Haji bagi memastikan hanya pembimbing haji bertauliah dan diiktiraf TH
serta penyampai yang berkualiti boleh memberikan ceramah haji dan umrah.
Ia akan memudahkan kawalan dan penyelarasan hukum-hakam supaya tidak
bercanggah dengan ajaran Islam dan Resolusi Muzakarah Haji, katanya.
Menurut beliau pemegang kad tauliah berkenaan perlu memperbaharui kad
setiap tahun selepas melalui beberapa proses bagi memastikan mereka
mematuhi kriteria ketat yang ditetapkan TH. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan