Ahad, 11 Januari 2015

Hadi Awang akan ganti Nik Aziz?

FREE MALAYSIA TODAY
 
Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia.


nik aziz hadi awang


ALOR SETAR: Bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.

Katanya, Abdul Hadi tidak sepatutnya menyandang jawatan Presiden PAS yang lebih rendah berbanding keanggotaannya dalam Majlis Syura Ulama, iaitu badan tertinggi parti dan mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini.

“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur. Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas,” katanya, lapor Sinar Harian.

Kenyataan terbuka Zulhazmi itu turut dimuat naik di Facebook miliknya dan mengundang pelbagai reaksi.

Selain Abdul Hadi, nama lain yang dicadangkan untuk tidak dicalonkan dalam pemilihan kepimpinan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut disenaraikan.

Zulhazmi berkata, kesemua yang disenaraikan itu memegang jawatan dalam institusi paling tinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama dan mereka tidak wajar mempunyai apa-apa jawatan lain di peringkat lebih rendah.

“Majlis Syura adalah institusi tertinggi berperanan memantau Pas supaya tidak tergelincir dari landasan perjuangan serta dasar parti iaitu Islam. Ia juga merupakan institusi tertinggi yang bertindak memutuskan sebarang rayuan tatatertib ahli parti,” katanya.

Tiada ulasan: