SEREMBAN - Ramai sukarelawan dan Pemuda Umno yang berada di
lokasi banjir seluruh negara sudah mula demam berikutan keadaan cuaca
dan faktor pemakanan tidak menentu, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ketua Pemuda Umno itu menasihatkan sukarelawan yang terlibat dengan
kerja pasca banjir mengambil langkah berjaga-jaga mengelakkan dari
terkena penyakit.
“Nasihat saya kepada semua sukarelawan, walaupun kita diperlukan turun
padang membantu kerja pembersihan, tetapi perlu juga berwaspada daripada
segi penyakit. Ambil langkah berjaga-jaga.
"Kita tidak mahu sukarelawan yang pergi ke sana untuk membantu tetapi
disebabkan tidak sihat, kerja tidak dapat dibuat dan orang di sana pula
yang kena tolong dia,” katanya di Seremban seperti dilaporkan Sinar
Harian.
Akhbar itu melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad
Hasan berkata, lebih 300 sukarelawan termasuk kakitangan kerajaan
negeri, Umno dan anggota Rejimen 508 Askar Wataniah terlibat dalam
operasi membantu mangsa banjir.
Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, berdasarkan
pemerhatiannya, keadaan lokasi banjir di Kelantan khususnya, masih tidak
menentu daripada aspek kesihatan dan kebersihan.
Katanya, kerja-kerja pembersihan banyak yang terbantut kerana masih banyak tempat tiada bekalan air dan elektrik.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan dilaporkan Bernama menempatkan 11
khemah sementara di negeri itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di
klinik kesihatan dan desa yang terjejas banjir dapat diteruskan.
Sambil menggalakkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha
membantu mangsa banjir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham
Abdullah berkata, mereka dianjurkan mendaftar sebagai sukarelawan dengan
kementerian.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan banjir
mencuci tangan menggunakan 'sanitizer' memandangkan bekalan air bersih
terhad pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan