Oleh: Naeem Raffi
PETALING JAYA : Kerajaan Selangor diharap tidak terlepas membangunkan kemudahan sukan lasak yang ada di negeri itu seiring dengan pembangunan sukan yang lain.
Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kewajaran memartabatkan aktiviti sukan lasak itu ada kerana ia merangkumi pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat khususnya golongan belia.
“Golongan belia perlu diisi dengan aktiviti sihat seperti sukan lasak ini kerana ia antara cabang yang dilihat mampu membentuk belia sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat kemudahan sukan di Pusat Rakan Muda, Kompleks Arena Petaling Jaya di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Belia Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Sayuti Basiron.
“Malam ini, kita datang melihat salah satu kemudahan sukan lasak yang ada di Selangor dan ada keperluan untuk menaik taraf kemudahan ini sesuai dengan permintaan semasa.
“Saya akan bawa perkara ini ke pengetahuan Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan ini terpelihara dan dapat digunakan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Amirudin sempat mendampingi sekumpulan pengiat sukan papan luncur, ‘inline skating’ dan BMX yang berada disitu.
Beliau turut menunjukkan bakat menunggang basikal BMX dengan meluncur di dataran itu.
“Kesempatan berbual dengan mereka tadi, saya difahamkan aktiviti mereka terhad pada sebelah malam kerana tiada kemudahan bumbung untuk mereka berteduh dari panas dan hujan. Jadi saya akan usaha mendapatkan bumbung seperti yang mereka inginkan.
“Mereka juga minta sedikit peruntukan untuk mengubah beberapa struktur rekabentuk kemudahan sukan di sini untuk lebih kontemporari kerana kemudahan sedia ada sudah ketinggalan,” katanya.EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan